PASUKAN Google Street View turut merakam imej di sekitar Pulau Tioman bagi melengkapkan pengumpulan data imej di Semenanjung Malaysia.
SNORKELING menjadi tarikan dan aktiviti utama di Taman Laut.
AIR laut yang kebiruan dan jernih menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Pertama kali ke Pulau Tioman, pelbagai perasaan bermain di minda, pertama pastinya teruja dan seronok dengan suasana yang menanti di sana yang difahamkan amat menarik terutama panorama alam semula jadi.

Namun, perjalanan penulis menaiki bot ke pulau peranginan itu tidak seperti yang dirancang kerana keadaan di Jeti Mersing agak sesak selain masalah jadual feri yang tidak menentu.

Perjalanan bertambah panjang apabila bot dari Jeti Mersing ke Pulau Tioman mengambil masa lebih dua jam.

Penulis percaya ia disebabkan cuti hujung minggu yang menyebabkan jeti itu sesak dan terpaksa beratur panjang untuk menaiki feri.

Namun, keletihan sepanjang perjalanan panjang selama 12 jam dari Kuala Lumpur ke Jeti Kampung Tekek itu terubat dek pemandangan laut yang kebiruan dan air­nya yang jernih.

Perjalanan dari jeti berkenaan ke tempat penginapan atau resort di sekitar Kampung Tekek mengambil masa 10 minit dengan menaiki bas milik resort berkenaan.

Pengangkutan di sekitar Kampung Tekek adalah pelbagai kerana pelancong boleh memilih sama ada menggunakan basikal, motosikal, kereta pacuan empat roda atau menggunakan teksi air iaitu bot laju yang boleh disewa.

Apabila berkunjung ke Kampung Tekek, pengunjung wajib mengunjungi Taman Laut di bahagian utara kampung itu.

Pastinya aktiviti yang menjadi tarikan ramai ialah snokerling kerana air­nya yang jernih dan membiru selain keadaan lautnya yang bersih membuatkan sesiapa saja teruja memasuki Taman Laut itu.

Di kawasan sekitar Berjaya Hotel Resort juga menarik kerana ia menghadap laut dan penghuni hotel itu boleh melihat pemandangan matahari terbit atau terbenam selain mandi-manda sepuas hati.

Pasirnya yang putih serta laut yang membiru turut menjadi tarikan utama kepada pelancong luar ke Pulau Tioman dan bagi yang gemar menyelam, kecantikan batu karang di kawasan itu memang memukau.

Namun, kesedaran memelihara pulau tumpuan pelancong itu bukan saja menjadi tanggungjawab pengunjung malah penduduk pulau itu.

Bersempena Hari Laut Sedunia 2015 Jun lalu, Google Malaysia menyokong inisiatif Malaysian Nature Society (MNS) untuk memberi kesedaran kepada penduduk terutama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Tekek) mengenai kepenti­ngan menjaga kebersihan pulau itu.

Google Malaysia dan MNS sebelum ini pernah bekerjasama dalam aktiviti ‘Paddle For Nature’, iaitu satu ekspedisi kayak untuk mengumpul visual atauimej untuk Google Street View (SV) di sepanjang persisir pantai Semenanjung Malaysia.

Kali ini, Google Malaysia dan MNS sekali lagi bergabung tenaga dalam usaha memelihara dan memulihara keindahan Pulau Tioman di samping Google SV dapat mengambil imej di sekitar Pulau Tioman yang sebelum ini belum pernah diambil.

Menurut Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof, kerjasama antara Google Malaysia dan MNS berjaya kerana bukan saja rakaman imej dapat disempurnakan, malah usaha memelihara dan memulihara kebersihan persisiran pantai dapat ditingkatkan.

“Expedisi solo kayak yang berakhir tahun lalu amat membantu bukan saja memperoleh imej malah memberi maklumat dan pandangan yang jelas keadaan pantai kita,” katanya.

Pada hari yang sama, penulis sempat melihat bagaimana pasukan Google SV mengambil imej di sekitar Pulau Tioman menggunakan kamera khas dan buat pertama kalinya diletakkan di atas ATV (All-Terrain Vehicle).

Ketua Operasi Google Street View Malaysia, Indonesia dan Thailand Nhazlisham Hamdan memberitahu bahawa ATV digunakan buat kali pertama untuk merakam imej dan ia menjadi keunikan bagi pasukannya.

“Sebelum ini kami gunakan kayak untuk merakam imej di sepanjang persisiran pantai Malaysia dan kini kami tampil lagi dengan kenderaan baru yang unik iaitu ATV untuk merakam imej di Pulau Tioman yang belum pernah kami rakam.

“Seluruh Malaysia dan seluruh persisiran pantai Semenanjung Malaysia berjaya kami dapatkan imej, namun Pulau Tioman tertinggal dan sebab itu kami berpatah balik bagi menyempurnakan rakaman di sini,” katanya.

Jika sebelum ini ramai menggunakan Google SV untuk mencari alamat rumah, sekolah atau kawasan kejiranan, mengapa tidak Google SV digunakan untuk melihat kawasan yang indah dan menarik di Malaysia seperti Pulau Tioman?

“Kebiasaannya ambil masa tiga hingga empat bulan sebelum seluruh imej dapat diproses dan dilihat menerusi Google SV,” kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 3:26 PM