BAHAN semula jadi jadikan rangkaian penjagaan wajah sesuai untuk semua jenis kulit.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


1.Ungkapan ‘Timur Bertemu Barat’ bukan baru bahkan menjadi kelaziman dalam aplikasi teknologi, pendekatan perniagaan serta amalan pemakanan.

Namun, apabila Perancis dan China bergabung tenaga untuk menghasilkan produk kecantikan dengan jualan 10 botol dalam tempoh seminit, ia benar-benar menarik perhatian.

Nyata Marysharon mencerminkan hasil pertembu­ngan Timur dan Barat itu menerusi beberapa rangkaian penjagaan wajahnya.

Formulasi lembut dengan penggunaan bahan semula jadi menjadikan rangkaian penjagaan wajah Marysharon sesuai untuk semua jenis kulit.

Esen matanya (Queen Radiance Eye Essence) membantu memberikan kesegaran dan penghidratan berterusan sementara mengurangkan garisan halus, sembap, kedutan dan lingkaran gelap selepas dua minggu penggunaannya.

Tidak ketinggalan pupur malam (Spa Sleeping Mask) yang dihasilkan daripada esen rumpai laut bagi menentang masalah kulit kering.

Jaring pengunci air yang unik membolehkan kulit memulihara kesegarannya. Selain mengawal kulit berminyak, pupur ini juga membantu menanggalkan kulit mati, menyerikan kulit kusam dan meningkatkan keanjalannya.

Kurangkan masalah garis halus dan kedutan

2. Jenama penjagaan wajah dan tubuh Amerika Syarikat, Kiehl’s meraikan ulang tahun ke-10 rangkaian Powerful-Strength Line-Reducing Concentrate yang popular di seluruh dunia dengan memperkenalkan pek khas produk itu.

Diperkaya dengan vitamin C sehingga 10.5 peratus, formula sama digunakan selama sedekad yang membantu mengurangkan masalah garis halus dan kedutan, sekali gus memperbaiki tekstur kulit.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini vitamin C sering disyorkan penggunaannya dalam rutin anti penuaan dan Powerful-Strength Line-Reducing Concentrate ini bukan saja menggunakan sebaiknya khasiat vitamin terbabit malah mempelbagaikan kemampuannya pada kulit.

Pembersih wajah gunakan gugusan tanah gunung berapi

3. Mahukan kulit cerah, namun sukar menghilangkan kesan pori, ­minyak berlebihan dan kusam­nya wajah? Ia perkara biasa, malah majoriti mengalami­nya hingga dirasakan mustahil untuk mendapatkan kulit mulus tanpa bantuan mekap.

Usai mengenakan mekap, masalah lain pula timbul iaitu langkah pembersihan yang remeh. Dengan pelbagai teknologi baru dalam produk kecantikan hari ini, membersihkan wajah ­dengan hanya satu langkah tidak memadai kerana pasti ada baki kotoran yang melekat lalu perlu dibersihkan berulang kali.

Susulan itu, Innisfree memperkenalkan rangkaian produk pembersih wajah yang menggunakan gugusan tanah gunung berapi (dikenali skoria) di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Skoria didapati kaya dengan nutrien dan lebih berkuasa mengawal sebum atau pengeluaran minyak berlebihan pada kulit berbanding lumpur atau tanah liat merah.

Edisi terkini dalam rangkaian Jeju Volcanic Line ini memberikan tekstur mousse untuk membantu pembersihan wajah yang lebih efektif.

Molekul di dalamnya lebih kecil berbanding saiz pori dan ia membantu memerangkap kotoran lalu dibawa keluar tanpa meninggalkan kesan kerengsaan.

Bagi melengkapkan lagi kawalan minyak ini, gunakan pupur Jeju Volcanic Clay Mousse yang khusus untuk merawat kulit kering.

Pupur Super Volcanic Clay Mousse pula dihasilkan untuk kulit berminyak dan bermasalah dengan menang­galkan sel kulit mati, bintik putih juga hitam serta membantu menurunkan suhu pada kulit wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 3:11 PM