HAZARD (tengah) jaring gol pembukaan.
Reuters

Washington: Chelsea melengkapkan jelajah pramusim di Amerika Syarikat dengan penuh bergaya apabila menundukkan Barcelona menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa itu berakhir 2-2, semalam.

Eden Hazard membuka tirai jaringan buat juara Inggeris itu sebelum kelab Sepanyol itu membalas dengan dua gol pada babak kedua. Gary Cahill menanduk masuk gol penyamaan lewat permainan bagi memaksa penentuan penalti di FedEx Field.

“Bagi persiapan pasukan, ia perlawanan fantastik buat kami,” kata pengurus Chelsea, Jose Mourinho. “Ia perlawanan pramusim yang bagus buat kami, saya fikir bagi kedua-dua pasukan dan juga penonton. Anda tahu ia perlawanan persahabatan tapi apabila Barcelona berdepan Chelsea, anda mahu menang, ia bukannya perlawanan persahabatan.”

Ketika juara Eropah, Barcelona hanya akan memulakan usaha mempertahankan kejuaraan La Liga pada 23 Ogos ini, masa amat genting buat Chelsea, yang berdepan Arsenal pada Perisai Komuniti Ahad ini sebelum perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Swansea pada 8 Ogos ini.

Dengan Blues menurunkan pasukan kuat bagi memulakan perlawanan semalam, mereka hanya mengambil masa sembilan minit untuk membuka tirai jaringan apabila Hazard mengutip bola 40 ela dari gol dan menggelecek beberapa pemain Barcelona sebelum merembat leret ke penjuru kiri gol.

Barcelona, beraksi tanpa Lionel Messi dan Neymar yang direhatkan sepanjang jelajah, bangkit mendominasi pegangan bola dan Luis Suarez akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-52.

Selepas tandukan Cesar Azpilicueta singgah di kaki pemain Uruguay itu dalam kotak penalti, Suarez bijak mengelirukan pertahanan Chelsea sebelum menyungkit bola melepasi jangkauan penjaga gol Thibaut Courtois. Pertahanan Kurt Zouma berjaya menyepak keluar bola itu namun pengadil memutuskan ia sudah melepasi garisan gol.

Barcelona mendahului 14 minit kemudian apabila Sandro meluru dari sebelah kiri sebelum melencongkan bola ke penjuru gol.

Chelsea bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-86 apabila Barcelona gagal menangani sepakan percuma dan Cahill bertindak berani menanduk masuk ke jaring, berdarah di hidung dan digantikan serta-merta.

Loic Remy menyempurnakan sepakan penalti kemenangan buat Chelsea selepas Radamel Falcao, Victor Moses dan Ramires turut meledak gol.

Iniesta dan Sandro berjaya buat Barcelona namun Alen Halilovic dan Gerard Pique gagal menerusi sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:33 AM