MyPassport Wireless selesai masalah tak cukup storan.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Sebagai pengguna te­lefon pintar ­iPhone, masalah utama yang sering dihadapi adalah jumlah storan yang tidak mencukupi. Nasib baik WD membawakan MyPassport Wireless yang membolehkan penguji memindahkan foto atau sebagai mesin ‘backup’.

Untuk pengetahuan anda, MyPassport Wireless tidak hanya terhad kepada iPhone, tetapi mana-mana peranti lain yang mempunyai sambungan WiFi, jadi proses memindahkan foto, dokumen atau video sepatutnya menjadi lebih lancar.

Ia menjadi pemacu tanpa wayar mudah alih dalam dua kaedah yang penting yang sokongannya kepada WiFi dwi-stream 802.11n memberikan kelajuan pantas selain slot kad SD bersepadu untuk memindahkan data lebih baik.

Setakat ini, penguji tidak menghadapi masalah memindahkan fail melainkan beberapa dokumen yang bukan dikategorikan sebagai produk Microsoft.

Bagi penguji, jangka hayat bateri juga perlu diberi perhatian kerana ia perlu dicas semula selepas hampir enam jam penggunaan yang agak terhad bagi penguji.

Terdapat dalam dua kapasiti utama iaitu 1TB dan 2TB yang berharga RM599 dan RM699, namun setoran 500GB juga ditawarkan.

Bagi penguji, mesin ini juga bertindak sebagai media dan bekerja sebagai pemacu sandaran untuk komputer riba, kamera digital dan peranti mudah alih yang sudah pasti melegakan.

MyPassport Wireless mempunyai antaramuka USB 3.0 dan apabila disambungkan ke komputer, ia berfungsi sebagai pemacu keras luaran kemudian apabila beroperasi pada sokongan bateri, ia menjadi pelayan media mudah alih tanpa wayar.

Penguji menggunakannya dengan kaedah mudah iaitu menyimpan dokumen dari PC kemudian mengaksesnya pada peranti seperti tablet atau telefon pintar tanpa wayar.

Menariknya, ia boleh disambungkan kepada lapan peranti serentak jadi berkemungkinan sesuai juga untuk penggunaan pejabat kecil.

Peranti ini agak padat berukuran hanya 5.0 inci panjang dan 3.4 inci lebar, tahap nipisnya bagaimanapun berubah mengikut kapasiti yang anda pilih.

Namun, pengguna perlu memindah turun aplikasi khas terlebih dahulu bersama gajet yang sesuai untuk peranti iOS atau Android.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 12:58 PM