Gambar fail menunjukkan ratusan ribu haiwan dibunuh sebagai korban kepada tuhan ketika festival Gadhimai di perkampungan Bariyapur, Nepal. - Foto oleh dawn.com

Kathmandu: Pihak berkuasa kuil Nepal akhirnya bersetuju menamatkan tradisi Hindu penyembelihan haiwan secara besar-besaran yang berusia 400 tahun melalui festival yang diadakan lima tahun sekali.

Jutaan penganut Hindu dari Nepal dan India mengunjungi sebuah kuil di Nepal untuk mengorbankan ratusan ribu haiwan kepada dewi Hindu, Gadhimai.

"Kami mengambil keputusan menghentikan sepenuhnya amalan korban haiwan itu. Saya sedar haiwan juga seperti kita, mempunyai organ yang sama seperti kita dan merasa kesakitan yang sama,” kata Motilal Prasad, setiausaha Yayasan Kuil Gadhimai yang menganjurkan festival berkenaan.

Ritual korban itu mempunyai sejarah yang panjang di Nepal dengan penganut Hindu menawarkan kambing atau kerbau dengan harapan mendapat kebahagiaan dan kesihatan yang baik.

Pada festival terakhir November lalu, 2.5 juta penganut mengorbankan kira-kira 200,000 haiwan di perkampungan Bariyapur berhampiran sempadan India.

"Tidak mudah untuk menamatkan tradisi berusia 400 tahun tetapi kita mempunyai empat tahun untuk meyakinkan mereka bahawa tidak perlu mengorbankan haiwan untuk menggembirakan tuhan," kata Prasad.

Aktivis pejuang haiwan memuji keputusan itu yang melobi pihak berkuasa kuil serta kerajaan Nepal, termasuk menggunakan sokongan selebriti pelakon Joanna Lumley dari Britain dan legenda filem Perancis, Brigitte Bardot.

Menurut legenda, korban pertama di Bariyapur dijalankan beberapa abad lalu apabila Gadhimai muncul dalam mimpi seorang banduan mengarahkannya membina kuil untuk dewi itu.

Apabila terjaga, banduan itu mendapati rantai belenggunya terbuka dan boleh meninggalkan penjara tanpa dengan bebas lalu membina kuil serta mengorbankan haiwan sebagai tanda kesyukuran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 9:15 PM