Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengkritik sukan tanah air Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tidak bersetuju dengan hasrat negara untuk membida penganjuran temasya Sukan Olimpik 2028 kerana menyifatkan belum tiba masanya untuk Malaysia bergelar tuan rumah temasya sukan terbesar dunia itu.

Biarpun penganjuran itu diadakan secara bersama dengan Singapura, namun jika membabitkan jumlah perbelanjaan besar Kay Kim berkata, lebih wajar Malaysia tidak mengambil risiko untuk menganjurkan temasya berprestij itu.

Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyuarakan hasrat membida penganjuran temasya Olimpik 2028 atau 2032 bersama Singapura dengan kos penganjuran dianggarkan menelan belanja lebih RM10 bilion.

Katanya, lantaran membabitkan jumlah wang yang besar akan wujud banyak ‘tangan nakal’ untuk mengambil kesempatan daripada penganjuran itu seperti mana yang berlaku ketika Komanwel 1998 apabila banyak masalah timbul dengan perkara itu didiamkan begitu saja tanpa sebarang penyelesaian.

“Macam-macam akan berlaku jika membabitkan jumlah wang yang besar. Saya bimbang akan ada segelintir golongan tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk kepentingan poket sendiri.

“Penganjuran Sukan Komanwel pernah bermasalah. Banyak masalah timbul namun akhirnya lenyap tanpa ada penyelesaian. Ramai tidak jujur dan apa yang berlaku amat menyedihkan,” katanya.

Katanya, untuk menganjurkan temasya besar seperti Olimpik banyak perkara perlu diteliti secara terperinci dan biarpun akan memberi pulangan keuntungan, negara masih tidak mempunyai atlet berkualiti bertaraf dunia.

“Justeru, bagi saya Malaysia belum bersedia menjadi penganjur Sukan Olimpik. Taraf sukan negara ketika ini jauh ketinggalan. Sukan SEA pun kita tewas kepada Singapura dari segi pungutan pingat, bagaimana kita mahu menganjurkan Sukan Olimpik apabila tidak mempunyai atlet berkualiti untuk diketengahkan.

“Budaya sukan di negara ini juga sudah tidak lagi dititik beratkan. Jika dulu kita lihat di setiap taman ada pelbagai jenis sukan yang dimainkan tapi sekarang tidak lagi.

“Padang yang satu ketika dulu cukup banyak disediakan pihak British terbiar begitu saja kerana tiada orang menggunakannya. Bagaimana kita mampu menghasilkan atlet bertaraf antarabangsa yang mampu bersaing di peringkat Olimpik jika pembangunan akar umbi cukup bagus,” katanya.

Melihat kelemahan dimiliki itu beliau berkata, wajar hasrat untuk membida temasya Olimpik itu dikaji semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 8:36 AM