PEMPROSESAN pes durian di Pusat Operasi FAMA di Jerantut, Pahang.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan pelan tindakan bagi pemasaran buah-buahan bermusim tahun ini.

Ia bertujuan memperluas dan mempertingkat­kan pembabitan FAMA dalam belian buah-buahan bermusim bagi membantu petani memasarkan hasil keluaran mereka.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, buah-buahan bermusim tahun ini dijangka bermula awal Jun hingga September bagi musim pertama dan Disember hingga Februari bagi musim kedua.

Beliau berkata, pelan tindakan itu bagi menambah ruang pasaran dan meningkatkan akses pasaran dari ladang terus kepada pengguna.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan mengurangkan pembabitan orang tengah di bawah program Jihad Memerangi Orang Tengah (JMOT).

“Pelan tindakan ini merangkumi empat pendekatan yang meliputi pembangunan kawasan, pembangunan produk, pembangunan saluran pasaran dan pembabitan belian FAMA di peringkat ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Pelan Pemasaran Buah-Buahan Bermusim 2015 dan Program Turun Padang serta Lawatan ke Pusat Pengumpulan Ladang dan Pusat Memproses Buah-Buahan di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, pada tahun ini, FAMA menyasarkan pembelian buah-buahan bermusim 10,000 metrik tan bernilai RM17.5 juta melalui 198 pusat belian di seluruh negara.

“Belian ini dipasarkan melalui ‘outlet’ runcit FAMA iaitu Agrobazaar Malaysia di Singapura, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pasar Tani Borong, Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak dan Kelantan.

“Selain itu, di desa raya, pemprosesan, pemboro­ngan, institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, karnival jualan serta di kompleks dan pejabat kerajaan,” katanya.

Ahmad berkata, FAMA juga melaksanakan program pemasaran melalui kerjasama dengan pasar raya, mening­katkan program peng­eksportan durian sejuk beku dan memperluaskan aktiviti program promosi dalam negara.

“Pengeluaran keseluruhan jenis buah-buahan bermusim

utama iaitu durian, rambutan, manggis, cempedak, duku, dokong dan langsat bagi tahun ini dijangka menurun 9.1 peratus berbanding tahun lalu iaitu dari 94,549 metrik tan kepada 85,934 metrik tan.

“FAMA mengenalpasti kawasan pengeluaran utama dan jangkaan kawasan bermasalah dengan mewujudkan pusat belian serta infrastruktur pasaran seperti pusat pengumpulan di peringkat ladang bagi memudahkan petani membawa hasil buah-buahan mereka.

“FAMA dan usahawan FAMA akan membeli terus buah-buahan melalui pusat belian ini di samping pembabitan pembeli swasta,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini, pemasaran buah-buahan bermusim FAMA ditumpukan kepada segmen pasaran utama seperti pemprosesan, peruncitan dan eksport.

“FAMA juga menyediakan ruang pasaran yang secukupnya di pusat jualan strategik dan mewujudkan program pesta buah-buahan bermusim.

“Ia bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna wujudnya buah-buahan bermusim dan memudahkan pengguna mendapatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:00 AM