Oleh Lily Haslina Nasir

Juzuk-juzuk wangi kelopak melur dan putih cempaka di halaman rumah mengapung di segenap penjuru rumah pagi itu. Manis. Lama Chairil terleka memandang ibunya yang sibuk mencantas dahan pohon kenanga. Kalau tidak kerana rasa sakit dan pergerakan yang terbatas itu, amat jarang dia mahu menghirup angin dingin pagi dengan santai begitu.

“Kalau sakit janganlah degil. Hari tu doktor cadangkan buat MRI, tak mahu buat. Sekarang badan sendiri menanggung sakit.”

“Hari tu tak sengal sangat.”

“Kalau jatuh terhentak ke, jatuh tergelincir ke, jangan buat main-main. Memang nampak tak luka. Dalam tu kita tak tahu. Badan tu nak pakai lama.”

“Nantilah. Hari ni tak sempat kot nak ke hospital.”

Sakit belakang ini sebenarnya telah lama Chairil rasai. Dalam diam dia berkeluh sendiri. Dulu jatuh tergelincir di Bukit Broga dan kemudian di Tasik Banding, Perak. Tetapi seperti biasa dia tetap tersenyum biarpun dileteri Puan Ramnah. Cuma mahu tidak mahu, sejak seminggu itu, badannya terasa seperti bermandikan minyak panas. Bau minyak gamat, bau minyak serai semuanya bersatu dengan kesakitannya.

Puas dia mengelak daripada bergantung dengan ubat tahan sakit. Namun setiap kali malam menjelang, dia tidak mampu bertahan. Sengal, bisa dan ngilu mencengkam tulang belakang dan pinggangnya.

“Jangan degil dengan nasihat orang tua! Kalau tak pasti, baik jumpa doktor pakar!”

Puan Ramnah benar-benar cuak dengan kesakitan Chairil. Dia tahu anak bujangnya itu. Payah untuk berkeluh sakit.

“Ini nak ke mana?”

“Ada kerja sikit mak. Chairil singgah pejabat sekejap ya.”

“Eh, kata sakit nak bangun. Suruh pergi hospital, lekit! Heboh nak kejar ke pejabat.”

“Sekejap aje. Chairil dah suruh Firdaus datang jemput.”

“Bukan abah kata, kau cuti sampai betul sembuh.”

“Ada abah cakap. Tapi ni fasal training dengan SAP tu. Nak aturkan jadual lain.”

“Ya Allah! Dah macam ni pun sibukkan kerja. Takkan runtuh Menara Rumah Manis tu kalau Chairil tak datang kerja.”

Perlahan-lahan dia bangun menuju ke bilik kerjanya. Leteran Puan Ramnah dirasakan hanya membuat tulang-belulangnya semakin ngilu jadinya.

Chairil dengan segala susah payah cuba duduk tegak menghadap komputer. Berkali-kali bibirnya mengeluh perlahan. Sengal. Bisa. Ngilu. Bagai ada buluh runcing yang menikam pada sarafnya.

Jangan mengeluh, Chairil!

Tuhan sayang engkau. Tuhan rindukan engkau. Dikirimkan ujian kecil ini.

Sesekali belakang badannya terasa kebas. Beberapa minit kemudian diikuti rasa sejuk pada belikatnya.

“Sakit tu kifarah dosa. Cara paling indah Allah SWT nak pujuk hati kita yang kadang-kadang jauh dan nakal.” Ungkapan Pak Man sewaktu dia di hospital sangat berbekas di jiwa.

Kifarah. Dosa.

Ya Allah! Akukah insan yang angkuh lagi ingkar?

Hujan dan angin saling berebut menyelinap ke segenap rongga bumi pagi itu. Dingin dirasakan di mana-mana. Chairil terasa semakin bisa badannya. Dia cuba bertahan untuk menyemak semua e-mel yang diterima namun tidak sampai setengah jam dia terpaksa mencari katil untuk berbaring. Mata bukannya mahu lena tetapi rasa sakit sangat menggigit diri. Jauh di sudut hati berharap kelibat Firdaus segera sampai.

Di Menara Rumah Manis, Sofea tidak menang tangan menguruskan segala yang tertangguh sejak dia ke Pengkalan Hulu. Sampai saja di pejabat, tidak sempat tarik kerusi, Effa sudah bertempik. Disuruhnya ke unit kewangan. Selesai di unit kewangan, diarahkan pula ke bahagian sumber manusia. Tengah menunggu lif pun, Effa ada-ada saja arahannya melalui telefon. Tercungap-cungap gadis itu dibuatnya. Tidak sekuman pun ada rasa simpati di hati Effa.

“Pia, esok sebelum pergi training, singgah pejabat dulu. I nak you semak segala report dulu.”

“Datang pejabat?”

“Ya.”

“Kalau saya singgah lepas selesai training boleh?”

“Sejak bila tak faham bahasa ni? Aku kata sebelum pergi training.”

“Takut tak sempat.”

“Apa hal pulak tak sempat?”

“Training mula pukul 8.30 pagi.”

“Kalau dah tahu training tu mula pukul 8.30 pagi, habis tu tak reti nak keluar awal?”

“Err... saya cuba nanti.”

“Hoi! Sejak bila pulak pandai cakap saya cuba. Ingat ni syarikat bapak sendiri ke? Kalau rasa nak kena memo, ikut sukalah ya!”

Terasa tercekik menelan liur sendiri. Sofea tergamam apabila Effa dengan keras memberi amaran.

Sejak pulang dari Pengkalan Hulu, segala kerja seperti dilambak dan ditimbunkan pada bahunya. Sudah dua hari dia menyinggah ke pejabat selepas selesai kursus SAP. Ada-ada sahaja laporan yang perlu disiapkan segera. Tidak cukup dengan laporan, kertas kerja dan proposal yang penuh syarat dan prosedur, juga menagih dirinya untuk diselesaikan dengan tangkas.

Mata terasa cekang dan kering. Sambil menghadap komputer riba, dia meraba jerawat yang manja-manja timbul di dahi dan pipi. Huh! Nampak sangat muka sendiri tak terjaga! Sofea berkeluh di dalam hati. Ikutkan kesibukan yang menghambat terasa mahu membawa tilam bantal ke pejabat.

“Sofea!”

Oh! Suara itu menjerit lagi. Sofea benar-benar tersentak.

“Sofea!” Semakin panjang laungan Effa dari tempatnya.

“Ya, Effa!”

Kelam-kabut Sofea menghadap Effa. Berpasang-pasang mata sudah memerhati dalam diam. Nisa, Kak Rose dan Huda sudah saling mengangkat kening dari jauh. Masaklah Pia kena gulai! Kak Rose bagai dapat meneka gelora cemburu di hati Effa. Nisa sudah menggeleng sendiri.

“Hei, kenapa you tak buat deal lagi dengan supplier kita di Pengkalan Hulu tu?”

“Oh, yang itu nak kena tunggu Tuan Chairil masuk pejabat.”

“Hei, kenapa pulak nak kena tunggu dia? Habis tu kalau dia tak ada, semua kerja sangkut?”

Sofea diam mengetap bibir menahan sabar. Pantas dia beristighfar di dalam hati menyejukkan bara jiwa.

“Ini... cuba tengok ni! Report pun berterabur! Ingat ni main-main buat karangan budak sekolah rendah apa!” Satu fail yang penuh dengan laporan yang baru sahaja disiapkan Sofea dengan penuh tungkus-lumus dicampakkan ke meja oleh Effa. Tergamam Sofea memandang tingkah keras gadis yang bermuka bengis itu.

Beberapa rakan pejabat yang sejak tadi memerhati dari jauh sudah mula saling berkerut dahi.

“Yang ini, Tuan Chairil dah tengok. Kak Rose dengan Nisa pun ada masa tu.”

Sofea yang serba-salah, dalam sopan menjelaskan keadaan.

“Memanglah dia dah tengok. Come on lah! Orang tengah sakit. Semua dia kata okay. Kau jangan pulak ambik kesempatan. Kau ingat bila bos tu cakap lembut dengan kau, dengan muka tak malu, kau pun nak jadi kucing siam ya! Menggedik tak tentu hala! Suluh sikit muka tu dekat cermin!”

Niat Effa mahu memanjangkan amarah yang bernyala merah di hati terhenti apabila telefon bimbit berbunyi.

“Chairil! Hei, you okay? Apa cerita?”

Sekelip mata suara itu berubah lunak dan manja. Sofea yang masih tercegat berdiri di hadapannya diberi isyarat agar pergi dari situ. Kening lebat Sofea hampir bertaut. Huh, tadi macam ada gempa bumi. Suara nyaring bertempik! Dapat panggilan telefon dari Chairil terus berubah gedik.

“Buat tak tahu sudahlah! Effa tu kan selalu macam tu.”

Bisik Nisa yang tumpang simpati pada Sofea.

“Payah perempuan yang banyak angin kus kus satu badan ni!” Sampuk Huda yang turut terasa bahang kemarahan Effa.

“Entahlah. Tak tahu nak respon macam mana lagi.” Sofea menjawab lirih.

“Buat tak tahu sudah! Biasalah Effa. Kalau datang bulan pun, boleh mengamuk satu department. Itu belum dia kena senggugut! Menara Rumah Manis ni boleh bergegar macam kena angin lintang!” Sampuk Nisa separuh berlucu. Sofea tersenyum kelat. Namun telinganya pantas menangkap perbualan Effa di telefon. Rasa meluat tidak mampu ditahan.

“Report semua selesai. Itupun lepas I betulkan balik.”

“Sofea dengan Kak Rose? Entah tak tahu! I yang buat rombakan tu sendiri.”

“Supplier Pengkalan Hulu pun I dah confirmed temu janji kita.”

“Aha... betul! You punya tarikh training dengan SAP tu you jangan risau. I akan uruskan. I akan pastikan tarikh baru tu you dah betul-betul bersedia nak ke pejabat.”

“Take care dear! Jangan fikirkan hal pejabatlah! Rehat betul-betul!”

Manja beralun-alun suara Effa menerbitkan rasa mual pada Sofea dan rakan yang lain. Puas Sofea mengetap bibir menahan sabar.

Tidak sampai lima saat kemudian Effa kembali memekik dan memanggil Sofea.

“Kau catat apa aku sebut ni! Kau uruskan semua ni sebelum Chairil masuk pejabat. Faham!” Arahan dan jerkahan itu tidak mampu dibantah. Sofea terkulat-kulat menjeruk rasa. Tangannya pantas menyalin ke buku notanya. Selesai menerima arahan, pantas Sofea meninggalkan meja Effa. Pedih dan gelegak di hati tidak terucap ketika itu.

Sabar, Pia! Sabar! Kau cari makan. Dia pun cari makan. Allah SWT saja yang Maha Mengetahui!

“Ya Allah! Selamba badak aje dia kata pada Chairil dia uruskan semua benda ya!” Nisa tumpang mendidih memandang perangai Effa.

“Huh, jealous lah tu... Ni semua gara-gara tak dapat nak menggelenyar dengan Chairil dekat Pengkalan Hulu!” Sampuk Huda yang sama meluat.

“Tak apalah. Mana larat, buat ajelah. Malas nak gaduh.” Sofea tahu kalau dia menjadi nasi tambah dalam sesi gosip itu, hatinya semakin terbakar dan satu kerja tidak mampu disiapkan.

“Kenapalah di pejabat ni ada satu umat yang macam ni! Muka tak malu sungguh! Suka buat orang macam kuli batak dia!” Nisa menggeleng dan sesekali timbul rasa kagum pada kesabaran Sofea. Baru buka mulut untuk ulasan selari, tiba-tiba bunyi keletak-keletuk kasut tumit tinggi Effa yang menghala ke arah mereka, mematikan perbualan.

“Firdaus mana?” Bising mulut Effa bertanyakan kelibat Firdaus.

“Tak pasti dia ke mana.” Balas Nisa sebaris ayat.

“Apa masalah Firdaus! Yang sakit Chairil, kenapa dia pun sama ghaib! Itu pun seorang lagi tak sedar diri diuntung! Perasan baik dengan bos, macam pejabat ni dia yang punya!” Bebel Effa yang kemudiannya berjalan menghentak-hentak kasut kembali ke mejanya. Melintasi meja Sofea, panjang jelingan Effa pada gadis manis itu.

Sofea pura-pura tekun menghadap komputer, jari-jemarinya laju menaip di papan kekunci komputer. Biar hati bergetar namun Sofea tahu dia harus banyak bersabar.

“Kalau dia masuk, tolong beritahu I! Kalau dia ada nak visit Chairil, pesan dia jugak. Tolong beritahu I. Nanti I ikut sekali.”

Nisa dengan Huda menggumam sendiri. Kak Rose tersenyum sumbing.

“Mentang-mentang Tuan Ramli tak ada, Chairil pulak sakit! Macam kaduk naik junjung perempuan seorang ni!” Gerutu Nisa.

Lewat senja sewaktu Sofea kelam-kabut turun naik lif menguruskan segala perkara yang dikerah oleh Effa, dia nyaris tersadung kaki Chairil yang tiba-tiba muncul di pintu lif. Sofea mahu masuk, Chairil yang bergerak perlahan melangkah keluar.

“Auchhh!! Pia nak ke mana ni macam ribut?”

“Err.. saya nak ke unit HR.”

“Ada apa?”

“Ni...” Spontan Sofea menunjukkan fail dan dokumen di tangan. Matanya juga cemas memandang lif sesekali rasa bersalah merenung Chairil yang berkerut menahan sakit kaki.

“Apa ni Firdaus? Effa merepek apa ni? Pandai-pandai dia aje ni!” Firdaus di sebelah sama tumpang menengok dokumen di tangan Chairil.

“Hahaaa... perempuan ni senggugut kot!” Firdaus menyampuk dalam lawak.

“Pia, ikut sekejap ke bilik.”

Mahu tidak mahu Sofea mengekori bosnya. Langkah terpaksa diperlahankan mengikut derap kaki Chairil yang sangat berhati-hati. Terserlah wajahnya menahan sakit.

“Hah? Chairil?” Effa yang masih belum puas mendera Sofea terkejut.

“Ya, Tuan Chairil datang.” Nisa memberitahu.

“Mana dia?”

“Ada dalam bilik.” Sahut Nisa.

“Kenapa tak beritahu I?” Effa merengus. Namun sempat mencapai tas tangan dan mencari gincu merahnya. Dioles sedikit pada bibir.

Tiada jawapan yang diterima untuk itu. Semua terdiam. Nisa dan Huda saling angkat kening. Firdaus tersenyum nakal.

Effa termalu sendiri. Terasa segan bukan kepalang. Merah padam pipinya menahan rasa. Terngiang-ngiang suara sendiri yang halus nyaring bertempik memanggil Sofea. Oh, betina itu rupa-rupanya di bilik Chairil. Kurang ajar!!

Chairil di dalam bilik menahan kerut di dahi apabila meneliti segala dokumen di atas mejanya.

“Ni kenapa jadi macam ni?”

“Effa suruh tukar report.”

“Kenapa?”

Sofea angkat bahu. Dia sendiri tiada jawapan.

“Yang ni jadual apa pulak?” Chairil mula merengus sendirian apabila melihat jadual yang tercatat pada nota peribadi di mejanya.

“Effa suruh aturkan diskusi waktu makan tengah hari dengan team dari Pengkalan Hulu.”

“Apa hal pulak nak ada lunch lagi? Semua dah selesai masa kita di sana. Pia pun tahu kan. Kenapa tak terangkan pada Effa.”

Sekali lagi tiada jawapan dari Sofea. Tidak terdaya dia untuk memanjangkan cerita. Kalau timbul cerita dari mulutnya, bimbang hanya mengeruhkan lagi keadaan. Biarpun kalau diikutkan hati dendam kesumatnya sedang menggelegak di kawah jiwa.

Baru Chairil hendak bertanya lagi, tiba-tiba daun pintu biliknya ditolak. Effa dengan muka yang angkuh menyergah masuk.

“I dengar you bising-bising pasal I?”

“Kenapa you buat arahan yang bukan-bukan ni? Semua urusan di Pengkalan Hulu dah nak selesai.”

“Apa yang bukan-bukan?”

“You ingat I tak tahu ke, you pandai-pandai beri arahan pada Sofea.”

“Eh, salah ke? Sejak bila pulak dia tak boleh disuruh? Sejak bila dia jadi anak emas dekat pejabat ni?”

“Ni bukan masalah anak emas ke, anak suasa ke... ni masalah you buat segala report ni jadi haru-biru.”

“I buat apa yang I rasa patut. Kalau salah, makna Sofea yang tak faham arahan I.”

Bulat membuntang mata Effa menjeling ke arah Sofea. Ikutkan hati geram, mahu saja diramas-ramas mulut Sofea! Sejak bila dah pandai mengadu!!

“You did the wrong thing to the right girl!”

“What??” Suara Effa separuh menjerit! Huh, tetap juga Chairil mahu menangkan budak muka pucat tak cukup vitamin ni!

“Chairil! Tolonglah! I buat semua ni untuk you tahu!” Effa menghempas fail yang ada di atas meja. Chairil yang duduk menyandar di sofa terjerit sedikit apabila fail berkulit keras itu dihentak atas pahanya.

Sofea tergamam memandang. Dia tidak pasti apa yang wajar dilakukan. Mahu tolong Chairil, terasa tidak manis pula mahu menyentuh Chairil yang berkerut bibir menahan sakit.

“Ambilkan painkiller atas meja tu. Yang dalam botol kecil tu.”

Pantas Sofea menghulurkan pil pada Chairil. Tanpa tegukan air, pil itu ditelan begitu saja.

“Makan ubat tahan sakit macam dah ketagih je....” Tidak tahu mengapa spontan kata-kata itu terzahir dari bibir comel Sofea. Berkerut dia memandang Chairil yang sedang mencari sedikit kelegaan.

“Pia tahu tak abang sakit?”

“Tahu... tapi tak elok makan ubat tahan sakit selalu. Nanti jadi ketagih pulak. Tak ada ubat tahan sakit, badan tak boleh lawan rasa sakit.”

“Everybody has an addiction, mine just happen to be you!”

Sofea terjeda. Malu!

Chairil merenung gadis di hadapannya, mencari-cari cahaya keikhlasan teguran si gadis. Pipi Sofea sudah merona merah.

“Abang ni kenapa merepek! Pia bercakap fasal abang yang tak tahan sakit. Fasal jangan selalu sangat makan painkiller, nanti ketagih!” Sofea menggumam geram. Namun suaranya masih malu-malu. Senyum nakal Chairil membuat dia berasa tidak keruan.

“Please know this, I am addicted to you, I have tasted your mind, and I cannot forget its flavour!”

Sekali lagi Sofea terkesima.

“Ya Allah!! Dah sakit tu buatlah cara sakit! Cubalah berzikir ke, mengaji ke... jangan merepek boleh!”

“Abang cakap yang betul!”

“Pia keluar dululah. Jaga diri!”

Sofea pantas keluar dari bilik itu. Namun dia tahu, langkahnya diperhati dengan penuh asyik oleh sepasang mata nakal Chairil. Lelaki itu terus memerhati dan mengamati dari jauh. Bagai mahu dihafal susuk tubuh nan manis itu.

Aku mencintai kau, Sofea. Kadang-kadang aku juga membenci engkau. Aneh! Tapi kalau ditakdirkan sakit ini menghalang aku mendekati engkau, akan kumohon belas ihsan dari Tuhan, pinjamkanlah aku sayap! Aku ingin sentiasa terbang, dekat dengan engkau!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:00 AM