RANGKAIAN produk NUZ yang dibuat daripada bahan organik tanpa bahan pengawet.
NUR Uyun bersama ibunya, Jauriah yakin kulit yang cantik dan sihat memerlukan penjagaan rapi menggunakan produk berasaskan bahan organik yang lebih selamat.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan malah boleh dikatakan semua mahukan yang terbaik agar kelihatan cantik dan sentiasa anggun.

Bagi yang mementingkan gaya, pasti tidak akan terlepas daripada memberikan yang terbaik untuk kulit muka selepas penat bekerja seharian.

Namun jangan terlepas pandang terhadap produk kecantikan yang dipilih kerana tidak semuanya selamat untuk digunakan. Ramai wanita terpesona dengan iklan kecantikan tanpa berfikir adakah produk berkenaan selamat untuk kulit wajah mereka .

Oleh kerana masalah ini sentiasa berlanjutan apatah lagi kecantikan sementara tidak akan kekal, anak gadis yang begitu prihatin mengenai penggunaan bahan kecantikan yang boleh memudaratkan kulit wajah, Nur Uyun Zainuddin dan ibunya, Jauriah A Ghani mendapat idea untuk mengeluarkan produk kecantikan yang selamat dan berasaskan bahan organik tanpa bahan pengawet.

Nur Uyun, 26, yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom ini mendapat idea untuk berkecimpung dalam perniagaan kosmetik apabila selalu melihat ibunya yang sentiasa menjaga kecantikan dan menggunakan produk daripada bahan organik untuk diri serta seisi keluarga.

“Ibu adalah inspirasi saya untuk meneruskan usaha melihat agar wanita lebih bijak memilih produk yang sesuai dan selamat untuk digunakan.

“Saya juga berpendapat kecantikan seseorang wanita itu pasti akan lebih terserlah jika pandai memilih produk yang sesuai dan ia juga akan menambah keyakinan diri selain menjaga kecantikan untuk menambat hati suami,” katanya.

Menurutnya, disebabkan ibunya suatu ketika dulu pernah bekerja dalam sektor kerajaan yang sering memberi tunjuk ajar kepada usahawan kosmetik sehingga berjaya, gadis itu tidak melepaskan peluang yang ada untuk menimba ilmu daripada ibunya untuk mencapai cita-citanya dalam penghasilan produk jenamanya sendiri.

Melalui syarikat mereka, Jufiyun Edar Sdn Bhd, mereka menghasilkan formulasi produk kosmetik sendiri di bawah jenama NUZ dan kini giat mempromosi dan mengetengahkan produk berasaskan bahan organik dan tanpa bahan pengawet bagi meyakinkan pengguna.

Dengan ilmu yang diturunkan oleh ibunya, Nur Uyun yakin, usahanya untuk mendidik dan menjadikan wanita sentiasa cantik dan menawan sepanjang masa pasti akan berjaya.

“Produk keluaran syarikat kami sudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tentunya selamat digunakan malah dapat menjadikan kulit wanita cantik secara semula jadi.

“Dirumus daripada ekstrak tumbuhan semula jadi, produk NUZ bukan saja dapat merawat, tetapi juga dapat mencerah, menganjal dan menghilangkan garis halus. Insya-Allah produk NUZ adalah penyelesaian bagi wanita yang tercari-cari produk yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Ini kerana di samping dapat merawat dan mencerah, kulit juga akan mendapat belaian semula jadi,” katanya.

Produk NUZ didatangi dengan beberapa variasi seperti losen tangan, pencuci muka pemutih, antijerawat, kolagen dan krim asas.

Antara bahan semula jadi yang terkandung dalam produk NUZ termasuk susu kambing, aloe vera, kolagen, ekstrak bearberry, rumpai laut dan minyak zaitun.

Selain sesuai digunakan oleh seisi keluarga, harga yang ditawarkan kepada pengguna amat berpatutan dan selamat digunakan.

Nur Uyun berkata, NUZ turut mempelawa semua yang ingin mencari pendapatan sampingan dan ingin memulakan perniagaan untuk menjadi rakan niaga dan ejen pengedar barangan NUZ dengan modal serendah RM500.

Mereka yang berminat untuk menjadi rakan niaga NUZ, boleh menghubungi talian 019-353 6645 atau 013-3307198.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:00 AM