FOTO ihsan PDRM
Oleh Nabihah Kamal

Subang Jaya: Bayi perempuan berusia 14 bulan yang dilarikan seorang lelaki menggunakan kenderaan bapanya di hadapan Subang Parade, di sini, ditemui selamat di sebuah stesen minyak di Glenmarie, di sini, kira-kira 1 pagi tadi.

Bayi berkenaan ditemui seorang pekerja stesen minyak terbabit di dalam troli yang ditinggalkan di tepi tandas sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.35 malam Sabtu lalu, bapa mangsa difahamkan keluar meninggalkan mangsa di dalam kenderaan dalam keadaan enjin dihidupkan.

Menurutnya, seorang lelaki bersama seorang wanita dan dua kanak-kanak berada berhampiran kenderaan mangsa sebelum memasuki Kenderaan mangsa dan terus memecut meninggalkan lokasi kejadian.

"Sebaik dilarikan, bapa mangsa terus membuat laporan Polis pada 10.58 malam dan usaha mengesan kenderaan mangsa terus dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 1:47 PM