LELAKI bersolek untuk acara Gerewol.
ANTARA perhiasan menarik yang dipakai lelaki sewaktu acara Gerewol.
WANITA yang sudah berkahwin boleh memilih untuk ‘dicuri’ dan meninggalkan suami mereka.
ANTARA wanita yang mengadili lelaki.
ETNIK Wodaabe percaya mereka yang paling cantik.
MEWARNAKAN muka menggunakan tanah liat, memakai celak hitam, gincu dan membuat garisan putih di hidung.
SARAT dengan perhiasan.

Pada setiap tahun lelaki dari puak Wodaabe akan menghias wajah mereka dan memakai pakaian tradisional yang berwarna-warni bagi menyertai pertandingan ratu cantik.

Lelaki ini bukan sahaja perlu kelihatan menarik tetapi perlu menari bagi mencuri hati wanita yang mahu menjadikan mereka sebagai suami.

Tarikh paling penting dalam kelendar kaum ini jatuh pada September ketika penghujung musim hujan pada setiap tahun.

Kebanyakan masa kaum ini dihabiskan dengan mengembara dalam keluarga kecil di Gurun Sahel yang sebahagian besarnya terletak di Niger.

Kaum ini juga boleh ditemui di sepanjang gurun ini yang merangkumi Cameroon, Afrika Tengah, Chad dan Nigeria.

Selepas berbulan-bulan menjelajah gurun berkenaan, pertandingan itu yang dikenali sebagai Gerewol menjadi peluang untuk kaum ini berkumpul.

Perayaan tradisi yang lengkap dengan muzik dan tarian ini berlangsung selama tujuh hari tujuh malam.

Pertandingan tarian Yaake adalah yang paling ditunggu dan setiap peserta yang semuanya lelaki akan diadili oleh tiga hakim wanita.

Tarian Yaake adalah kemuncak pesta Gerewol dan peserta lelaki berusaha memikat juri dan penonton wanita yang melihat persembahan itu.

Peserta lelaki mengambil masa selama enam jam untuk membuat persediaan dalam acara yang ditunggu selama ini.

Mereka mengecat muka dengan tanah liat berwarna merah, memakai celak hitam yang tebal serta mewarnakan bibir.

Antara gerakan yang diambil perhatian oleh hakim adalah menunjukkan gigi mereka yang putih.

Bagi melengkapkan penampilan, bulu burung unta diletakkan di kepala supaya kelihatan tinggi dan garisan putih dicat di hidung supaya kelihatan mancung.

Ketika tarian berlangsung, peserta akan berdiri rapat dan perlahan-lahan bergerak dalam bulatan.

Peserta akan dihakimi oleh tiga wanita paling cantik dalam puak berkenaan.

Setiap hakim boleh memilih pemenang mereka sendiri dan pemenang boleh memilih mana-mana wanita yang disukai mereka dalam puak itu termasuk isteri orang.

Turut menonton persembahan tarian itu adalah wanita yang memilih calon suami baru mereka.

Sekiranya terpikat dengan mana-mana peserta, mereka boleh mengambil lelaki itu sebagai suami baru dan meninggalkan pasangannya sebelum ini.

“Kami suka datang ke pesta Gerewol kerana mahu melihat lelaki. Mana tahu ada lelaki yang kami terpikat,” kata seorang wanita.

Berbeza dengan puak lain, wanita Wodaabe mempunyai kebebasan untuk mempunyai ramai suami dan boleh bertukar pasangan mengikut kehendak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:03 AM