Oleh Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Memulakan kerjaya sebagai pelakon, Zulin Aziz lebih dikenali sebagai pengacara dan mula menjadi sebutan selepas menjadi hos Melodi bersama Awal Ashari dan Sheery Al-Hadad.

Tidak hairanlah sehingga kini peluang Zulin dalam bidang pengacaraan lebih banyak. Bukan itu saja, ramai yang menyenangi caranya mengendalikan sesebuah rancangan.

Tambah pula gayanya yang bersahaja berjaya memikat hati penonton. Zulin atau Farah Azleenda Abd Aziz kekal sebagai hos Buletin Lawak dan kini terbabit dengan program Elak-Elak serta Ini Raya Kita Punya.

Kata Zulin, dia bersyukur dengan perkembangan positif itu dan mengakui sikapnya yang santai serta suka melawak membuatkan pembabitannya cenderung pada rancangan bercorak komedi.

“Saya pernah menjadi hos dalam program bual bicara Juliet untuk HyppTV. Semua topik dibincangkan serius dan cara penyampaian juga ala-ala Nona dan Wanita Hari Ini.

“Memang kekok sebab dalam program itu saya harus menampilkan sisi lain. Kena kawal sikap gila-gila. Pengetahuan am juga harus kuat.

“Selain itu, ada temubual yang kita lakukan bersama orang awam. Cabaran utama apabila orang yang kita temubual mengambil masa yang lama untuk memberikan maklum balas.

“Andai ada peluang mengacarakan program seperti itu lagi, saya akan terima. Saya mahu meneroka lebih luas dalam bidang pengacaraan. Banyak teknik yang perlu dipelajari dan asah,” katanya.

Tambah Zulin, kerana lebih sering muncul dalam program komedi, penonton sudah menanggap dia sebagai pelawak. Bukan tidak menghargai penerimaan penonton, namun dia juga ingin mahir mengendalikan rancangan lain.

Mengenai lakonan, Zulin berhati-hati memilih watak memandangkan dia sudah bertudung. Masih mencintai dunia lakonan, namun banyak batas yang perlu dijaga.

“Dengan keadaan saya sekarang, mana boleh lagi membawa watak ‘daring’. Tapi, bawa watak baik pun mungkin kurang sesuai dengan saya.

“Lakonan sekarang agak terhad kerana harus menjaga batas sebagai wanita bertudung. Walaupun kurang tawaran berlakon, saya tidak menyesal. Lagi pun kerjaya saya lebih terarah kepada pengacaraan,” katanya.

Selain itu, Zulin juga berjinak-jinak dalam bidang nyanyian. Namun, dia masih menunggu masa yang sesuai merakamkan lagu. Dia tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Katanya, dia harus bijak merangka strategi serta menyusun jadual seninya. Apatah lagi sekarang dia mempunyai komitmen lain. Biar lambat, asalkan semuanya berjalan seperti dirancang.

“Saya masih menanti masa sesuai merakamkan lagu. Sekarang sibuk dengan pengacaraan, biar buat satu perkara dalam satu masa.

“Kalau mahu lakukan serentak nanti semua tidak menjadi. Saya pun ingin menghasilkan produk berkualiti,” katanya.

Zulin berkata, pada masa kecil dia berangan-angan mahu bergelar penyanyi tetapi apabila semakin dewasa, dia rasa suaranya tidak sedap mana pun, lalu melupakan bidang itu dan memilih cabang seni lain.

“Bagaimanapun, lama-kelaman minat menyanyi itu kembali timbul. Tambah pula kami satu keluarga sukakan muzik. Mungkin itu satu pencetus keinginan untuk cuba menyanyi,” katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, Zulin sibuk dengan penggambaran Buletin Lawak, Stylo Ke Tidak dan ‘gameshow’ raya. Walaupun letih berpuasa dia tetap bekerja seperti biasa.

Katanya, sejak awal tahun sehingga kini, dia menerima banyak tawaran dan tidak berehat sepanjang bulan puasa.

“Memang saya sibuk sepanjang Ramadan. Cuti pun dalam beberapa hari saja. Selepas itu saya terpaksa ke Sabah untuk penggambaran Buletin Lawak. Dulu cuma dalam studio, sekarang ini kami ada juga penggambaran di luar.

“Tahun ini masa untuk buat duit. Saya tidak terfikir untuk kurangkan mana-mana aktiviti seni. Selagi ada yang memberi peluang, saya terima dengan hati terbuka. Memang letih, tapi seni sudah menjadi karier saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:02 AM