PULAU Komodo mempunyai keindahan alam yang menarik untuk dilawati.
BIAWAK komodo boleh hidu darah sejauh 2km.
PENULIS di pintu masuk ke Taman Nasional Pulau Komodo.
BIAWAK komodo boleh berlari laju mengejar mangsa.
Oleh Rozekruzaini Ahmad Tajuddin
rozekruzaini@gmail.com


Ketika menyusuri Pulau Komodo, bentuk muka buminya berbeza dengan pulau lain yang pernah penulis lihat di tanah air dan Thailand. Terletak di kepulauan Nusa Tenggara, Pulau Komodo di sebelah timur Pulau Sumbawa dan dipisahkan oleh Selat Sape.

Tanah di pulau ini lebih berumput dan tidak banyak pokok tinggi dan ia mempunyai banyak pulau kecil. Air lautnya begitu jernih dan membiru. Cuaca ketika kami mendarat pula sangat baik yang menambahkan lagi keindahan pemandangan.

Sekitar 10.30 pagi, penulis bersama dua rakan; Hazliza Tahir dan Suzanne Tan tiba di Taman Nasional Pulau Komodo (Komodo Island National Park). Mula sekali kami ke sebuah pondok kecil sekitar 500 meter dari pintu pagar masuk untuk mengikuti taklimat ringkas. Kami dimaklumkan tempat ini bernama Loh Liang dan kami akan berjalan sekitar 1 jam 30 minit untuk mencari dan melihat biawak komodo.

Sewaktu taklimat berkenaan, kami dinasihatkan untuk terus mengikut arahan renjer yang bertugas demi keselamatan.

Kami memulakan perjalanan sambil mata melilau mencari jika ada biawak komodo yang berkeliaran. Ketika berjalan, ada seekor biawak komodo masih kecil melintas di hadapan kami. Saya tidak sempat mengambil gambar anak komodo itu kerana ia berlari sangat pantas. Selepas 30 minit berjalan kaki, kami singgah di sebuah hentian untuk berehat.

Pemandangan di sini amat cantik. Selepas rehat 15 minit, kami meneruskan perjalanan ke tepi pantai. Setibanya di tepi pantai, dari jauh saya dapat lihat tiga biawak komodo bersantai di bawah pokok. Dengan izin renjer, kami melangkah lebih dekat.

Penulis tidak melepaskan peluang merakam gambar sepuasnya, dua biawak komodo kelihatan berehat dan tidak begitu agresif manakala yang seekor lagi sesekali mendongak dan menghidu sesuatu.

Agak mendebarkan juga. Kami dimaklumkan bahawa biawak komodo berupaya mengesan bau darah sejauh dua kilometer. Maka, sekiranya anda wanita didatangi haid, anda perlu memaklumkan kepada renjer mengenai keadaan anda.

Kami dibenarkan mengambil gambar di situ selama 30 minit sebelum berjalan lagi ke arah bot untuk destinasi seterusnya. Destinasi itu ialah Pantai Merah Jambu atau Pink Beach. Pink Beach terkenal dengan pasir pantai yang berwarna merah jambu.

Ketika duduk di atas pasir di pantai ini, saya lihat kebanyakan butiran pasirnya berwarna merah jambu. Inilah keunikan Pink Beach. Kami dibenarkan snorkel dan berehat dua jam. Batu karang di sini amat cantik.

Ketika bersnorkel, saya terlihat seekor penyu berenang bebas di dalam laut. Sesekali nampak ia naik ke permukaan air menyedut udara dan turun ke bawah semula. Ikan di sini juga berwarna-warni serta pelbagai bentuk.

Selepas penat bersnorkel dan berehat di Pink Beach, kami naik semula ke atas bot dan meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir iaitu Labuan Bajo.

Dalam pelayaran ke Labuan Bajo yang mengambil masa sekitar dua jam, sempatlah kami merakam foto bersama rakan yang baru dikenali di atas bot itu. Setiba di Labuan Bajo nanti, kami akan bawa haluan sendiri terutama mengambil penerbangan terus ke Jakarta atau Bali sebelum pulang ke negara masing-masing.

Labuan Bajo adalah pekan kecil yang mempunyai lapangan terbang. Di situ juga ada penginapan untuk pengunjung yang berminat ke Pulau Komodo.

Jam menunjukkan 5.40 petang, suasana kian senja. Saya dapat lihat keindahan matahari terbenam sebelum turun dari bot. Setiba di jeti Labuan Bajo, kami bertiga terus berjalan kaki ke tempat penginapan.

Penginapan kami terletak di atas bukit. Sesudah melabuhkan beg, tiba masa kami cari tempat makanan bersesuaian. Pihak penginapan memberitahu, ada deretan gerai menjual ikan bakar di penghujung jeti. Kira-kira 15 minit kemudian kami tiba di situ, dan makanan yang dihidangkan sungguh menyelerakan.

Kami bertiga duduk di situ, dan kemudian empat pelancong yang kami kenali di atas bot tiba dan menyertai kami makan malam. Keadaan semakin meriah apabila masing-masing menceritakan perasaan masing-masing sepanjang pelayaran.

Hampir jam 9.30 malam kami bertiga meminta diri untuk pulang ke penginapan. Badan sudah terasa letih dan kami ingin berehat sepuasnya sebelum meneruskan pengembaraan kami ke Bali keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:01 AM