Oleh Dang Setia

Saya berkahwin lebih lima tahun dan masih belum dikurnia anak. Saya dan isteri pernah tinggal di Kuala Lumpur tetapi hujung tahun lalu kami berpindah ke rumah ibu. Saya enggan membiarkan ibu terus hidup sendirian lepas ayah meninggal dunia dua tahun lalu.

Mulanya isteri keberatan tetapi akhirnya akur.

Namun, akhir-akhir ini isteri merungut kerana hidup di kampung tidak semeriah di ibu kota. Maklumlah dia memang membesar di Kuala Lumpur, maka hidup di kampung pilihan terakhirnya.

Membuat saya geram, baru-baru ini isteri sengaja ‘bercakap kuat’ mengatakan dia ‘mati kutu’ ting­gal di kampung. Perkara itu didengar ibu lalu menyuruh saya berpindah balik ke Kuala Lumpur.

Saya tidak mahu tetapi isteri pula sengaja mengadu kepada ibu, mengatakan dia bosan serta tidak selesa di kampung.

Dulu isteri kata dia sukakan saya sebab berasal dari kampung tetapi kini, apabila sudah tinggal di kampung, macam-macam ragam pula.

Jika ikutkan hati, mahu saja saya cari calon madunya di kampung untuk jaga ibu. Bukan saya tidak mampu, cuma saya malas dan kasihan terhadap isteri. Apapun, saya mengesyorkan hal itu kepadanya tetapi bukan makin elok perangainya, sebaliknya makin memeningkan.

Dia mengamuk dan menyuruh saya menghantar dia ke rumah orang tuanya. Namun, bukan itu sebenarnya niat saya. Saya cuma mahu dia lebih bertolak ansur dengan saya dan turut memikirkan orang tua saya.

Kami tiada anak, maka bagi saya lebih elok dia temankan ibu apabila saya bekerja di luar. Entah­lah Dang Setia, apabila fikir daripada gurauan itu, tidak mustahil boleh jadi kenyataan melihat sikapnya langsung tidak matang.

GHANI, Batu Kawan, Pulau Pinang

Hadis Rasullulah mengatakan, “Nasihati­lah perempuan dengan cara yang baik! Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk, langsung yang paling bengkok itu bahagian teratasnya. Jika engkau berkeras meluruskannya, ia akan patah. Namun jika engkau biarkan saja, ia akan bengkok selama-lamanya. Maka nasihatilah perempuan dengan cara yang baik!” (HR Bukhari, Muslim, Ibnu Abi Syaibah, dan Baihaqi)

Jelas hadis berkenaan panduan terbaik dalam menegur isteri saudara.

Kalau saudara berterus terang mengenai sikap buruknya gemar merungut itu cuma membuatkan saudara geram, mungkin lebih baik. Maka, pujuklah isteri dan tegur sebaiknya. Mesej lebih terang ialah sikapnya itu melukakan hati bukan saudara, sebaliknyaibu mentuanya.

Minta dia memahami situasi saudara mahu menjaga ibu dan pujuk dia mengasuh hati sendiri supaya lebih peka dengan hati serta perasaan orang di sekelilingnya.

Jangan hanya memikirkan keselesaan sendiri dan membelakangkan keutamaan lain iaitu tanggungjawabnya selaku isteri serta menantu. Pada Dang Setia, saudara perlu bertenang serta matang ketika mengendali isteri bila bersikap sebegini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 12:32 AM