AYUNI
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyumbang emas negara di Sukan SEA, Nur Ayuni Farhana Abd Halim bertekad untuk memberi persembahan terbaik di Siri Kejohanan Dunia di Azerbaijan bulan depan selepas terpilih menggalas cabaran negara di kejohanan itu.

Dia bersama seorang lagi penembak emas negara, Alia Shazana Azahari antara dua penembak yang akan mengibarkan cabaran negara di kejohanan itu dalam usaha untuk menempah tiket kelayakan ke temasya Olimpik.

Bagaimanapun atlet kelahiran Pahang itu tidak berani meletakkan sasaran tinggi kerana menyedari tahap kesukaran dan cabaran yang bakal ditempuhi di Azerbaijan nanti.

Dia yang kembali menjalani latihan selepas diberi cuti seminggu sempena menyambut Aidilfitri berkata, apa yang pasti persediaan rapi akan dilakukan dan berusaha untuk memberi bidikan terbaik buat negara.

“Cabaran di Kejohanan Dunia cukup sengit kerana semua penembak handalan dunia akan turun beraksi tapi saya akan buat persediaan secukupnya untuk menjadi wakil negara ke Olimpik.

“Bagaimanapun jika gagal di Azerbaijan, masih ada peluang buat penembak negara ke Olimpik atas kuota Asia. Selepas Kejohanan Dunia, saya akan ke Kuwait pada bulan November untuk Kejohanan Menembak Asia dan di sana peluang ke Olimpik lebih cerah,” katanya.

Menurut peraturan ditetapkan seandainya juara di peringkat Asia itu sudah melepasi syarat kelayakan ke Olimpik, kuota seterusnya akan diberikan kepada atlet kedua dan seterusnya dan mereka yang sudah mendapat tiket kelayakan itu dibenarkan untuk beraksi dalam semua acara yang dipertandingkan.

Justeru bagi Ayuni menjadi impiannya untuk beraksi di Olimpik buat kali pertama selepas melihat rakan seperjuangan, Nur Suryani Taibi berjaya melakukannya pada Olimpik London 2012.

Beraksi dalam acara 50m rifle tiga posisi dan 10m air rifle Ayuni berkata, dia kini berada di tahap terbaik selepas berjaya menyumbangkan emas buat negara di Sukan SEA Singapura bulan lalu.

Atlet berusia 25 tahun itu menewaskan pesaing dari Thailand Supamas Wankaew yang meraih perak dan gangsa milik Suryani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:05 AM