Manila: Selepas terkandas hampir tiga hari, penyanyi popular Amerika Syarikat (AS), Chris Brown akhirnya dibenar meninggalkan Filipina semalam.

Brown, 25, dihalang meninggalkan negara itu selepas sebuah kumpulan agama Kristian membuat laporan mendakwa penyanyi berkenaan menipu.

Penyanyi itu didakwa menipu selepas gagal hadir untuk satu konsert anjuran kumpulan berkenaan pada tahun lalu.

Brown yang membuat persembahan di Manila pada Selasa lalu dibenar meninggalkan Filipina selepas mendapat surat pelepasan daripada imigresen.

Wartawan berkata, Brown bersama 10 orang lagi dilihat menaiki sebuah pesawat peribadi di lapangan terbang Manila semalam.

Jurucakap Imigresen, Elaine Tan berkata, surat pelepasan itu dikeluarkan kepada Brown di sebuah cawangan imigresen di sini.

Puluhan wartawan sebelum ini menunggu kedatangan penyanyi itu di ibu pejabat imigresen yang terletak di tengah Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:03 AM