KECEWA dengan sikap biadab segelintir peminat di Internet.
Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my


“Kalau sudah namanya manusia berhati busuk dan tidak ada kerja hendak dibuat mulalah tunjuk berani jadi ‘keyboard warrior’ (juara papan kekunci). Tidak boleh tengok orang lain maju.”

Demikian reaksi penyanyi dan pelakon Shiha Zikir, 28, berikutan kecaman segelintir pengguna Internet terhadap pembabitannya dalam lakonan yang semakin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini.

Terbaru, lakonan Shiha sebagai Sofea dalam drama bersiri Abang Sado Kau Ado yang ditayang di TV3 sempena Aidilfitri lalu mendapat kecaman teruk.

Difahamkan, sebuah laman forum diwujudkan semata-mata untuk mengecam lakonan Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir dalam drama terbabit.

Antaranya Shiha diminta supaya berhenti berlakon dan hanya menumpukan pada nyanyian, kualiti lakonannya diperlekehkan dan kurang menyenangi kehadiran finalis Mentor musim kelima itu dalam bidang lakonan.

Shiha berkata, dia berasa pelik dengan sikap iri hati dan negatif sebahagian penonton yang gemar mencari kesalahan artis lain tanpa alasan kukuh.

“Orang macam ini memang sentiasa ada saja yang tidak kena dengan orang lain. Apa masalah dengan watak dalam cerita itu? Kalau namanya pelakon, mestilah ada pelbagai watak.

“Tidak semestinya kalau pelakon kena watak serius saja. Kalau satu hari saya dapat watak makcik? Takkan tidak boleh buat?” katanya.

Shiha berkata, dia terbuka menerima kritikan berhubung lakonannya jika teguran itu disampaikan secara beradab kerana dia sudah berlakon sejak beberapa tahun lalu.

“Saya mula berlakon sebelum program Mentor lagi, tapi watak kecil-kecil saja sebab minat dunia menyanyi lebih kuat. Apabila orang komen lakonan, saya boleh terima teguran, tapi kalau hentam secara tiba-tiba, tidak tentu pasal dan ia datang daripada entah siapa-siapa saya tolak tepi saja.

“Saya pun tidak ada masa hendak layan kecaman dan kritikan daripada orang yang rasa diri mereka bagus setakat di alam maya saja. Bagaimanapun, ia langsung tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Penyanyi yang bakal muncul dengan lagu Seperti Novel Cinta dalam masa terdekat ini menambah, dia menceburi lakonan kerana minat dan menguji kemampuan diri untuk menjadi anak seni serba boleh.

“Saya percaya jika orang macam ini berada di tempat saya atau sesiapa saja yang mereka hentam, silap hari bulan orang itu sendiri akan naik angin seperti orang gila dan memberikan reaksi melampau.

“Tapi pada saya pula, rezeki Allah SWT sudah bagi jadi saya buat sajalah. Saya cintakan dunia hiburan. Dunia seni ini luas yang merangkumi bidang nyanyian, lakonan, pengacaraan dan semua bidang itu saya. Rezeki ja­ngan ditolak asalkan benda itu halal dan selagi saya mampu buat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:01 AM