Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Tidak semua wanita dianugerahkan bentuk badan persis model. Namun, tidak kira apa juga bentuk badan anda, setiap wanita sebenarnya boleh tampil menarik sekiranya bijak memilih dan menggayakan fesyen bersesuaian.

Wanita yang rendah sama ada kecil molek atau sedikit berisi pun boleh bergaya meskipun kadangkala menghadapi kesukaran mencari pakaian kerana ada yang perlu diubah suai.

Ada beberapa teknik yang boleh dimanfaatkan khusus buat wanita ‘comel’ untuk kelihatan lebih tinggi dan langsing. Tambahkan sedikit ilmu dalam penggayaan kerana ia akan membantu meningkatkan penampilan dan keyakinan diri.

- Pilih baju atau blaus yang mempunyai kolar berpotongan V.

- Masukkan baju atau blaus ke dalam seluar panjang supaya kaki anda kelihatan lebih panjang dan tentu saja menampakkan kesan badan lebih tinggi.

- Pilih saiz yang sesuai dengan badan kerana pakaian yang terlalu longgar membuatkan badan anda kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar.

- Kenakan pakaian dengan motif atau corak bergaris menegak. Elakkan corak besar atau garis melintang kerana ia akan membuatkan anda tampak lebar dan semakin rendah.

- Jangan takut mengenakan skirt pendek sebaliknya hindari skirt yang labuhnya melepasi lutut atau sehingga betis kerana pemakaian sebegini akan membuatkan badan seperti terpotong dan akibatnya anda nampak lebih pendek.

- Jangan lupa mengenakan kasut bertumit tinggi.

Beberapa tip berpakaian yang perlu diketahui:

- Pakaian berwarna gelap menimbulkan kesan ramping pada tubuh.

- Baju tanpa lengan atau berkolar tinggi sangat sempurna untuk individu yang memiliki dada yang besar.

- Anda beruntung jika memiliki leher yang jinjang kerana bentuk leher seperti ini sesuai untuk baju berkolar tinggi. Jika leher anda sedikit pendek, pakailah rantai atau kalung untuk memberikan kesan lebih cantik.

- Sebaiknya, ganti kasut lama anda kerana kasut yang terlalu lama mempunyai warna yang pudar dan ini akan merosakkan penampilan.

- Kasut dengan tumit yang sangat rendah sukar untuk dipadankan dengan gaun atau kemeja bagaimanapun, ia baik untuk kesihatan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 12:00 AM