SUMARTI
AHMAD (kiri) bersama isterinya di Cilacap, semalam.
Agensi

Cilacap: Bapa wanita muda Indonesia yang ditemui mati di Hong Kong semalam menggesa supaya pembunuh kejam yang membunuh anaknya dihukum mati, sehari selepas seorang ahli perbankan Britain dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuhnya dan seorang lagi wanita.

Mayat Sumarti Ningsih yang berusia 20-an ditemui dalam keadaan ngeri dan hampir reput dalam beg pakaian di balkoni apartmen Rurik Jutting di selatan Hong Kong.

Jutting, 29, pedagang sekuriti yang baru-baru ini berhenti bekerja dengan Bank of America Merrill Lynch, menelefon polis ke rumahnya di daerah Wangchai pada awal pagi Sabtu lalu.

Mulanya, penyiasat menemui seorang wanita bogel dengan luka akibat ditikam di leher dan pinggulnya di apartmen berkenaan.

Mayat Sumarti ditemui beberapa jam selepas polis menyelongkar kediaman itu. Menurut dokumen mahkamah, dia dibunuh 27 Oktober lalu.

“Saya mahu pembunuh anak saya dihukum mati. Dia membunuh anak saya saya dengan kejam. Kerana itu dia perlu dihukum mati,” kata Ahmad Kaliman kepada wartawan ketika ditemui di Cilacap, bandar pelabuhan di selatan Jawa.

Hong Kong tidak mempunyai undang-undang hukuman mati.

“Saya juga merayu kerajaan Indonesia dan Hong Kong supaya kembalikan mayat anak saya secepat mungkin. Saya mahu dia dikebumikan di Indonesia,” katanya.

Menurut Ahmad, keluarganya dimaklumkan mengenai pembunuhan itu oleh seorang rakan Sumarti di Hong Kong.

“Kami dimaklumkan menerusi telefon. Saya terkejut lebih-lebih lagi selepas diberitahu sukar untuk mengenal mayatnya,” kata lelaki itu.

Polis percaya mangsa pekerja seks, tetapi Ahmad berkata anaknya bekerja di sebuah restoran di Hong Kong.

Pegawai konsulat Indonesia berkata, Sumarti tiba di Hong Kong pada 1 September dan tinggal melebihi visa lawatannya.

Menurut Ahmad, anaknya mula ke Hong Kong untuk bekerja sebagai pembantu rumah sebelum pulang ke Indonesia pada 2013.

Sejak itu dia berulang-alik ke bekas tanah jajahan Britain itu sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:04 AM