JUTTING bersama-sama beberapa wanita ketika mengadakan parti liar di kediamannya.

Hong Kong: Seorang ahli perbankan dikatakan mengupah pelacur dengan harga £1,000 (RM5,300) hanya beberapa hari sebelum mayat wanita itu ditemui di apartmennya dalam keadaan mengerikan di Hong Kong.

Menurut sumber, Rurik Jutting, 29, mengupah ibu dua anak, Sumarti Ningsih dan seorang lagi yang juga didakwa mangsanya, Jesse Lorena beberapa kali selepas menemui mereka di kelab malam.

Sementara itu, seorang lagi pelacur mendakwa melihat Jutting mencekik Jesse ketika mereka bertengkar di luar sebuah kelab malam beberapa jam sebelum wanita itu dibunuh.

Seorang lagi rakan juga mendakwa Jutting - lulusan Universiti Cambridge - sering mengadakan parti liar, termasuk membabitkan dadah dan seks sehingga dua atau tiga hari di kediamannya selepas mengambil 10 atau 11 wanita menemaninya.

“Setiap wanita dibayar HK$11,000 (RM4,700) untuk bersamanya sepanjang malam. Jadi secara keseluruhannya dia menghabiskan HK$121,000 (RM52,000) untuk satu partim,” kata rakannya.

Jutting dihadapkan ke mahkamah kelmarin atas dua tuduhan bunuh dan polis juga meluaskan siasatan ke Filipina berikutan lelaki itu turut dilihat berada di ‘bandar seks’ Angeles.

Penyiasat tidak menolak kemungkinan ada mangsa lain disebabkan pelbagai gambar ngeri ditemui di dalam telefon pintar Jutting di dalam fail yang diberi tajuk ‘gambar mayat Yan.’

Seorang kenalan Sumarti berkata, wanita Indonesia itu memberitahu rakannya beberapa hari sebelum dibunuh bahawa dia akan menemui seorang lelaki yang melanggannya dengan bayaran RM5,300.

Sumber itu yang hanya mahu dikenali sebagai AJ berkata, Jutting selalu bertengkar dan memukul wanita diupahnya.

“Dia mendakwa dirinya kaya, namun amat kedekut. Selalunya wanita berkenaan meminta dibayar dulu namun dia akan berkata ‘Jangan risau nanti saya bayarlah.’ - tetapi dia tidak pernah membayar mereka.

“Dia tidak akan membayar walaupun selepas mengadakan seks, malah kedekut untuk memberi wang teksi,” katanya.

Jutting nampak kusut dan memakai kemeja-T hitam ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret kelmarin.

Dia mengaku memahami tuduhan terhadapnya, namun tidak membuat sebarang pengakuan. Mahkamah memerintahkannya ditahan sehingga 10 November ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:04 AM