JEFFRI

Melaka: Penganjuran pelancongan sukan menerusi Kejohanan Harian Metro Grand Prix Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Jasin, 28 dan 29 November ini mampu mempromosi daerah itu sebagai lokasi eko-pelancongan.

Usaha Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan menaja kejohanan sejak tahun lalu mampu mempopularkan lokasi terpinggir untuk dikunjungi pelancong luar.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan (Tourism) negeri Jeffri Munir berkata, kehadiran lebih 1,500 peserta mampu membuka mata mereka untuk menjadikan Jasin tumpuan aktiviti sukan berbasikal lasak.

“Daerah ini memiliki banyak kawasan hijau dengan pemandangan indah antaranya di Hutan Simpan Bukit Batu Lebah, Hutan Simpan Asahan dan Hutan Simpan Bukit Senggeh.

“Ia mempunyai trek, bukan saja untuk kegiatan berbasikal lasak, malah sesuai untuk aktiviti treking, pendakian bukit dan perkhemahan serta perkelahan seperti di air terjun Asahan.

“Jasin kurang popular kerana pelancong sudah biasa dengan promosi kawasan bandar yang banyak lokasi bersejarah, namun semuanya akan berubah menerusi kejohanan MTB ini,” katanya.

Daerah ini mempunyai banyak lokasi menarik antaraya makam Tun Teja dan Galeri Demang Ghani iaitu rumah tradisional Melayu bercirikan seni bina antik.

Kunjungan ke daerah ini juga tidak sah andai tidak menikmati hidangan popular ikan bakar di Umbai.

“Untuk menikmati suasana kehidupan kampung pula, Jasin memiliki dua perkampungan tradisional yang menyediakan homestay, Pulai dan Sungai Rambai dan pengusaha diiktiraf Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan,” kata Jeffri.

Pengunjung juga boleh menyusuri sungai hutan bakau indah yang menjadi habitat pelbagai unggas dan reptlia di Sungai Rambai selain Kolam Air Panas Bemban yang dikunjungi lebih 63,000 pelawat pada tujuh bulan pertama tahun ini.

Produk pelancongan terbaru, Taman Ekstreme Chincin dibuka hujung tahun ini yang menjanjikan pelbagai aktiviti sukan lasak dan air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:03 AM