Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Tanah Merah: Seorang anggota tentera maut selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum terbalik di Kilometer 55 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Bechah Laut, di sini.

Ketika kejadian kira-kira 1.40 petang itu, Sarjan Hanafi Mohd Nawi, 36, memandu kereta Proton Wira dari arah Machang ke Jeli dan setiba di lokasi kejadian, keretanya hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tebing.

Pelanggaran itu menyebabkan kenderaannya tercampak ke tengah jalan dan terbalik.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Tanah Merah, di sini.

"Beliau disahkan meninggal dunia jam 2.10 petang. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:35 PM