GAMBAR yang diedarkan oleh pejabat media IS di Raqqa semalam menunjukkan anggota kumpulan itu bertempur menentang pejuang Kurdis di Kobane, Syria.
Reuters

Istanbul: Kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) melaporkan, militan Negara Islam (IS) di Syria memaksa kanak-kanak semuda 14 tahun menyaksikan video pemenggalan kepala selain memukul mereka dengan kabel sepanjang enam bulan mereka ditahan.

Militan IS menculik sekumpulan kanak-kanak pada 29 Mei lalu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kobane selepas selesai menduduki peperiksaan di Aleppo. Terbaru, seramai 93 tawanan kumpulan itu dibebaskan semalam.

HRW menyifatkan tindakan IS itu sebagai jenayah perang.

Mangsa yang menceritakan pengalaman mereka sepanjang ditahan berkata, mereka dipaksa bersembahyang lima kali sehari, mempelajari agama secara intensif selain dipaksa menyaksikan video pertempuran IS dengan kumpulan penentangnya, termasuk perbuatan memenggal kepala beberapa tahanan mereka.

“Mereka yang enggan patuh dipukul. Mereka memukul kami menggunakan paip getah hijau atau kabel tebal.

“Kami juga dipukul pada tapak kaki.

“Ada kalanya mereka sengaja mencari alasan untuk memukul kami.

“Kami dipaksa menghafal ayat suci al-Quran dan kami dibelasah jika gagal,” kata seorang mangsa.

Menurut mangsa, penculik mereka juga menyasarkan kanak-kanak yang mempunyai anggota keluarga yang berjuang dengan militia Kurdis dikenali sebagai YPG yang selama ini memainkan peranan penting dalam mempertahankan Kobane daripada serangan IS.

“Mereka berbangsa Syria, Jordan, Libya, Tunisia dan Arab Saudi.

“Kami disuruh memberi alamat keluarga kami termasuk sepupu dan bapa saudara.

“Kami diberitahu keluarga kami akan dicincang jika mereka memasuki Kobane.

“Mereka menganggap YPG sebagai kafir,” kata seorang lagi mangsa berusia 15 tahun.

Menurut mangsa, mereka tidak tahu mengapa mereka dibebaskan.

Katanya, mereka hanya diberitahu bahawa sesi pembelajaran agama sudah selesai.

Mangsa kanak-kanak terakhir dibebaskan kini mendapat perlindungan di Turki.

Menurut HRW, masih ada kanak-kanak dan orang dewasa Kurdis dalam tahanan, selain kira-kira 10 tawanan Barat termasuk wartawan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:03 AM