SERIK kena demam denggi.
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Pada hari pertama Ramadan lalu, pelakon dan pengacara Karl Shafek, 35, ditimpa dugaan besar apabila ditahan di wad selama enam hari kerana mata kirinya mengalami komplikasi saraf hingga dia tidak boleh melihat.

Selepas dirawat matanya kirinya sembuh dan dapat melihat seperti biasa, cuma doktor menasihatkannya tidak memakai kanta sentuh selama dua bulan.

“Saya memang rabun jauh dan memakai cermin mata, tetapi apabila berlakon saya mengenakan kanta sentuh. Bagaimanapun, masalah mata kiri bukan berpunca daripada kanta sentuh,”katanya.

Kira-kira dua minggu selepas keluar dari wad, Shafek dimasukkan sekali lagi ke hospital akibat demam denggi pula.

“Sebelum itu saya rasa tak sedap badan. Saya kemudian ke hospital dan menjalani pemeriksaan darah. Keputusannya mengejutkan apabila saya disahkan menghidap denggi dan terus ditahan di wad.

“Selama in saya hanya mendengar cerita orang kena denggi, tetapi sekarang saya sendiri yang kena. Seksanya kerana sakit seluruh urat saraf, sengal sendi dan tulang serta sejuk seluruh badan. Kepala rasa nak pecah, muntah, cirit-birit setiap hari sehingga lemah badan.

“Hari pertama di wad, platlet darah saya menjunam dari 167 ke 35. Kalau turun lagi ia jadi demam denggi berdarah,” katanya.

Shafek berkata, ketika di wad, rakan dan ibu saudara datang membawa sup ketam, air batang betik dan jambu batu untuk mengurangkan demamnya.

“Saya memang serik kena demam denggi. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafek yang juga pengacara program masakan Aroma Tradisi di TV3 setiap Rabu jam 11.30 pagi kini sibuk menyiapkan musim keempat program itu yang diadakan di seluruh negara.

“Aroma Tradisi akan turut mencari menu baru di luar negara. Saya juga sedang mengumpul menu unik untuk dijadikan buku resipi saya sendiri,” katanya.

Shafek mewarisi kepakaran memasak daripada ibunya yang mengusahakan katering dan berhasrat membuka restoran.

Aidilfitri lalu Shafek meraikannya di kampung ibunya di Pekan, Pahang dan kampung sebelah bapanya di Pontian, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 10:11 AM