Dua kapal yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua kapal di kedudukan 2.3 batu nautika Tenggara Tanjung Ramunia dekat perairan Penggerang Kota Tinggi pagi kelmarin selepas didapati tidak membayar dius api, berlabuh tanpa kebenaran serta gagal melaporkan ketibaan kapal.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kepten Maritim Amran Daud berkata, kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu berlabuh tanpa kebenaran serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.

"Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan dan menemui kapal terbabit sedang berlabuh. Pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan tidak melapor ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia, berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia serta tidak membayar dius api.

“Kapal Mt Hanyang Race yang didaftarkan di Bitung, Indonesia membawa empat anak kapal terdiri daripada warga Indonesia berusia 20 hingga 50-an dan kapal Mt Mascot yang didaftarkan di Ulan Bator, Mongolia membawa enam anak kapal berusia 20 hingga 50-an dan mereka dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Amran berkata, pihaknya komited mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal sentiasa terjamin selain mereka mematuhi undang-undang Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 12:33 PM