PLT jadi pilihan usahawan untuk tubuh entiti korporat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendaftaran Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang diperkenalkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terus mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mencatatkan sejumlah 4,789 PLT berdaftar sehingga 30 April 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Zahrah Abd Wahab Ferner berkata, sejak diperkenalkan pada 5 Februari 2013, PLT menerima maklum balas positif daripada masyarakat terutama peniaga.

Beliau berkata, berdasarkan rekod di SSM, pendaftaran PLT mencatat peningkatan sebanyak 53.6 peratus berbanding jumlah sasaran pendaftaran 1,500 PLT untuk tempoh tahun 2014.

“PLT adalah satu alternatif untuk menjalankan perniagaan yang mampu dimiliki dengan ciri mudah dan dinamik pada penubuhan, penyenggaraan dan pembubarannya.

“PLT juga memberikan akses status liabiliti terhad kepada pekongsinya dan menawarkan fleksibiliti peraturan dalaman melalui perjanjian antara rakan kongsi,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, disebabkan kepelbagaian PLT, ia menjadi pilihan usahawan untuk menubuhkan entiti korporat yang bersesuaian mengikut bentuk dan perniagaan yang ingin dijalankan.

Zahrah berkata, PLT adalah satu bentuk perniagaan alternatif yang menggabungkan ciri syarikat persendirian dan perkongsian konvensional.

Beliau berkata, PLT juga tiada keluaran saham, fleksibiliti membuat keputusan, tiada keperluan formal untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan tiada keperluan untuk mengemukakan penyata kewangan kepada SSM.

“PLT juga boleh digunakan untuk menjalankan semua jenis perniagaan yang sah di sisi undang-undang dengan tujuan mendapat keuntungan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengkaji terlebih dahulu ciri-ciri PLT sebelum mendaftar bagi membolehkan usahawan memahami konsep PLT serta tanggungjawab yang mengikat pemilik PLT. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.ssm.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 6:12 AM