KAMARUL Arif (tiga kiri) bersama pekerja di Zawara Coffee.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Shah Alam: Zawara Sdn Bhd, pengendali rangkaian kafe Zawara Coffee meletakkan sasaran untuk mencapai perolehan sehingga RM15 juta dalam tempoh setahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Arif Karim berkata, cawangan pertama Zawara Coffee yang mula beroperasi sejak dua bulan lalu mendapat sambutan positif dalam kalangan penggemar kopi. Pihaknya akan menambah cawangan dengan tumpuan diberikan kepada lokasi sekitar Lembah Klang.

“Sebagai permulaan, kami akan mencuba lokasi di Lembah Klang dengan cawangan kedua akan dibuka di Bangi selepas Aidilfitri ini dan diikuti di Setapak.

“Malah, kami turut mensasarkan untuk mencapai 100 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun,” katanya kepada Bisnes Metro, baru-baru ini.

Pihaknya menampilkan sesuatu yang berbeza berbanding kafe yang ada di pasaran termasuk dari aspek menu yang ditawarkan.

“Kami mengaplikasikan 100 peratus penggunaan teknologi bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan. Dalam masa terdekat, kami akan memperkenalkan sistem pesanan makanan yang lebih baik, iaitu pelanggan boleh melihat maklumat menu dan memesan makanan yang dikehendaki tanpa perlu ke kaunter.

“Ia akan mengurangkan masa menunggu dan pelanggan tidak perlu beratur panjang sekiranya pelanggan terlalu ramai,” katanya.

Kamarul Arif berkata, semua menu yang ditawarkan hasil kreativiti sendiri dan pihaknya turut mengendalikan dapur utama di Ara Damansara dengan kos mencecah RM2 juta.

Istimewanya Zawara Coffee adalah menu yang ditawarkan setanding kafe jenama antarabangsa, namun harga yang ditawarkan 30 peratus lebih murah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 6:09 AM