BAKAL keluar tudung jenama sendiri dalam waktu terdekat bersama rakan kongsi.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Sepanjang tiga tahun mencanai bakat sebagai pelakon, Uqasha Senrose, 22, tidak pernah sunyi dihambat kontroversi. Kisah putus cinta dengan pelakon, Pekin Ibrahim antara yang hangat diperkatakan.

Tidak lama kemudian, kakak Nelydia Senrose itu dikatakan bercinta pula dengan Syafiq Kyle, 23.

Mengelak mengulas panjang perkara itu, Uqasha lebih selesa memperkatakan perihal kerjaya dan rasa bangga terhadap pencapaian Nelydia dan seorang lagi adiknya, Raysha Rizrose yang mula mendapat perhatian selepas memenangi sebuah pertandingan pencarian bakat popular.

“Sebagai kakak saya bangga dengan pencapaian mereka. Mutu lakonan Nely sering mendapat pujian peminat dan kebanyakan dramanya berjaya mencatat rating tinggi.

“Raysha pula berbakat dan boleh pergi jauh jika diberi peluang.

“Tidak pernah timbul rasa iri hati di hati sebaliknya saya mahu mereka terus berjaya dalam lapangan masing-masing,” katanya.

Selain berlakon, Uqasha kini berjinak-jinak dengan dunia perniagaan apabila bakal mengeluarkan tudung jenama sendiri dalam waktu terdekat.

Ujar Uqasha bukan kerana mengikut ‘trend’, tetapi mengambil langkah berani itu apabila ramai peminat bertanya di mana dia membeli tudung sejak berhijab.

“Tudung saya sesuai digayakan semua golongan wanita. Insya-Allah akan ada butik sendiri dan pejabat bagi memudahkan operasi perniagaan.

“Jalan Tuanku Abdul Rahman menjadi lokasi pilihan saya.

“Saya percaya dengan rezeki dan tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan sesiapa. Saya hanya mahu berkongsi dengan peminat.

“Lagi pun, koleksi tudung saya tidak sama dengan jenama sedia ada. Paling penting harganya mampu milik iaitu kurang daripada RM100,” katanya yang mengusahakan bisnes itu bersama rakan kongsi.

Di sebalik pujian, Uqasha tidak ketinggalan menerima kritikan pedas peminat yang tidak suka melihatnya tampil dengan pakaian yang tidak memenuhi kehendak syariat.

Pelakon cantik ini bagaimanapun tidak ambil pusing kecaman itu dan menegaskan apa yang dipakainya adalah mengikut keselesaan.

“Saya sudah lali dengan kritikan. Setakat ini mereka menegur di Instagram. Mana yang salah saya jadikan pe­ngajaran.

“Soal bertudung itu antara saya dengan Allah SWT, begitu juga dengan pakaian. Insya-Allah dari semasa ke semasa saya akan memperbaiki penampilan,” katanya.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Uqasha berkata dia dan keluarga tidak pulang ke Kelantan kerana nenek tercinta sudah tiada.

“Sejak nenek meninggal dunia dua tahun lalu, kami sekeluarga memutuskan beraya di Kuala Lumpur. Persiapan pun biasa-biasa saja kerana masih terasa kehilangan nenek.

“Minggu pertama Syawal masa untuk keluarga dan sanak-saudara. Ada juga peminat datang beraya dan kami melayan mereka dengan mesra meskipun kehadiran itu tidak dijangka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:06 AM