PASAR Tani khas Aidilfitri mendapat sambutan pengguna.

Kerajaan menyasar kesemua 587 pasar tani di 331 lokasi di seluruh negara bebas daripada cengkaman orang tengah atau pemborong menjelang Januari tahun depan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jihad memerangi orang tengah dalam kalangan peniaga pasar tani bermula sejak Jun lalu bagi fasa pertama dengan membabitkan 66 pasar tani.

“Fasa kedua pula bermula September ini dengan membabitkan 176 pasar tani, manakala pasar tani yang selebihnya akan bebas daripada orang tengah melalui fasa ketiga bermula November hingga Januari tahun depan,” katanya ketika melancar Pasar Tani Khas Aidilfitri 2015 peringkat kebangsaan di Hulu Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata, apabila bebas, pasar tani tidak lagi akan terikat dengan orang tengah serta dapat menjual barangan tempatan kecuali produk yang terpaksa diimport seperti bawang.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diarahkan untuk menjadi pengimport tunggal bagi barangan yang tidak terdapat di negara ini seperti ubi kentang bagi memastikan penyelarasan harga sebelum dijual semula kepada para peniaga pasar tani, katanya.

Program Pasar Tani Khas Aidilfitri itu yang diadakan sehingga sehari sebelum Aidilfitri ialah inisiatif kerajaan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan keperluan hari raya dengan harga yang berpatutan serta barangan yang segar.

Ia menawarkan harga antara lima hingga 20 peratus lebih rendah ke atas 73 produk dan komoditi yang terpilih berbanding dengan harga pasaran.

Ismail Sabri berkata, program itu adalah kesinambungan daripada program Jualan Turun Harga yang dijalankan kerajaan untuk menurunkan harga hasil pertanian dan produk makanan di pasaran ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Pasar Tani Khas Aidilfitri ini juga menyaksikan penambahan barangan berkaitan Aidilfitri seperti daun palas, buluh lemang dan daun kelapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 8:27 AM