LOKASI kejadian (kiri) di mana mangsa terkena renjatan elektrik. FOTO ihsan Bomba
Oleh Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my


Sandakan: Anggota bomba maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada pendawaian haram ketika melakukan operasi pemadaman api di kawasan belukar berhampiran Taman Kenari Batu 7, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian 2.57 petang itu, mangsa Apolos Jeremea yang bertugas di Balai Bomba Sandakan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent,di sini, namun disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.

Ketika kejadian, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Sandakan termasuk mangsa dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran belukar sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.59 petang tadi.

Ketika operasi pemadaman kebakaran belukar, mangsa terkena renjatan elektrik yang dipercayai daripada pendawaian haram.

Difahamkan, lokasi kejadian berhampiran dengan kawasan rumah setinggan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan beliau dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 8:05 PM