MICK Fanning diserang ikan yu ketika beraksi dalam Terbuka Teluk J. FOTO AFP/WSL

Johannesburg (Afrika Selatan): Peluncur profesional dari Australia nyaris maut dibaham yu ketika menunggu gilirannya dalam air pada kejohanan di sini, semalam.

VIDEO World Surf League/YouTube



Mick Fanning, 34, menunggu gilirannya dalam saringan terakhir Terbuka Teluk J di Teluk Jeffreys apabila sirip yu tiba-tiba kelihatan di belakangnya.

Fanning kemudiannya dilihat melawan yu itu.

"Saya hanya dapat melihat sirip ikan itu dan terus menendang dan menjerit. Saya menantikannya cuba membaham saya dan sempat tumbuk badan yu itu," katanya.

Fanning diselamatkan pihak penganjur yang menaiki ski jet dan hanya kehilangan tali papan luncurnya dalam insiden itu.

Liga Luncur Sedunia (WSL) yang menganjurkan acara itu berkata, dua yu kelihatan dalam perairan berhampiran Fanning dan seorang lagi peserta yang juga kawan baiknya, Julian Wilson dari Australia.

Orang ramai tergamam melihat insiden itu dan juruhebah kedengaran menjerit mengarahkan orang keluar dari air.

Akibat insiden itu, WSL membatalkan kejohanan tersebut dan selepas berbincang dengan Fanning dan Wilson membenarkan mereka berkongsi hadiah wang tunai pemenang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 4:16 PM