Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Kasih ibu bapa terhadap anak memang tiada tolok bandingan. Anak umpama nyawa dan ditatang bagai minyak yang penuh.

Tidak hairanlah sejak hari pertama anak dilahirkan, ada ibu bapa mula membuka tabung simpanan dan tidak kurang pula mengambil insurans perlindungan. Semua itu dilakukan semata-mata untuk memastikan kehidupan dan kesihatan anak mereka terjamin di masa hadapan.

Seiring de-ngan keperluan itu, Zurich Insurance Malaysia Berhad melancarkan pelan insurans kanak-kanak terbaru, Zurich EduStart yang direka khas bagi melindungi anak dan ibu bapa mereka daripada sebarang kejadian yang tidak dijangka.

Pelan itu turut membantu ibu bapa membina dan membentuk dana pendidikan yang lebih kukuh untuk masa depan anak kesayangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Phil Smith berkata, pelan berkenaan berkaitan pelaburan berpremium lazim yang menggabungkan elemen perlindungan, simpanan dan pelaburan dengan tempoh matang iaitu apabila kanak-kanak itu mencapai umur 25 tahun.

Pelan itu memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa apabila anak mereka bersedia untuk melanjutkan pelajaran.

"Pendidikan kunci kepada masa depan anak dan sebagai ibu bapa, cita-cita mereka menjadi aspirasi kita semua. Namun, kos pendidikan boleh memberikan tekanan kewangan kepada ibu bapa.

"Oleh itu, kami ingin membantu ibu bapa dalam memahami keperluan membuat persediaan awal, membina asas yang kukuh untuk anak mereka di samping membuka peluang menikmati masa depan lebih cerah," katanya.

Pelan insurans berkenaan melindungi kanak-kanak yang berusia di antara 30 hari hingga 12 tahun. Ia menawarkan manfaat kematian atau hilang upaya keseluruhan kekal (HUKK) dengan tempoh pembayaran premium yang fleksibel.

Antara ciri menarik adalah manfaat pembayar yang mengecualikan pembayaran premium tertunggak sekiranya berlaku kematian atau HUKK kepada pembayar.

Ia juga merangkumi jika pembayar turut disahkan menghidap sebarang penyakit kritikal peringkat akhir yang ditakrifkan.

Menurut Smith, ibu bapa boleh memilih untuk menambah 'Rider Manfaat Pembayar Kedua' yang dapat meningkatkan perlindungan polisi juvana.

Apabila mencapai umur 18 tahun, ia membolehkan kanak-kanak itu menukar polisi kepada pelan berkaitan pelaburan berpremium lazim di bawah pilihan Hak Penukaran Istimewa.

"Komitmen kami untuk sentiasa mendahulukan kepentingan pelanggan selain membantu dan membimbing mereka melindungi diri daripada risiko," katanya pada majlis pelancaran pelan berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, syarikat terbabit memilih seorang bayi bertuah yang lahir pada Hari Malaysia lalu untuk menerima polisi pelan insurans berkenaan secara percuma.

"Kami sudah memilih bayi bertuah terbabit dan me-nyampaikan polisi kepada ibu bapanya tidak lama lagi. Ini antara cara kami menyampaikan hadiah kasih sayang sebenar dan melambangkan komitmen kepada masyarakat sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:00 AM