Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Ramai mengaku gagal mengawal nafsu makan apabila Aidilfitri menjelang. Pelbagai juadah enak seperti rendang, lemang, ketupat, nasi minyak, lontong sehinggalah kuih-muih, biskut raya dan kek pasti menyebabkan keinginan untuk makan begitu tinggi sehingga ada sesetengah individu makan apa saja tanpa memikirkan kesannya terutama bagi yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Menurut Pegawai Dietetik Hospital Islam Azzahrah Bandar Baru Bangi, Siti Hajar Mustaffa, ketika berpuasa sebulan, sistem pencernaan perut direhatkan. Bayangkan keadaan perut yang lama berehat dan secara mengejut diberi makanan yang banyak tanpa henti. Ini boleh mendatangkan masalah kepada sistem pencernaan. Justeru, penting merancang pemakanan dengan makan secara berperingkat serta kuantiti sedikit terutama pada hari raya pertama bagi memberi masa untuk perut kembali beroperasi secara normal.

Penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan penyempitan pembuluh darah perlulah mengawal pengambilan hidangan pada hari lebaran yang mengandungi kadar karbohirat, kadar lemak dan gula yang tinggi. Karbohidrat berlebihan ditukar kepada lemak di dalam badan jika senaman tidak diamalkan. Seseorang yang memiliki berat badan berlebihan, sudah pasti lemak dalam tubuh bertambah. Lemak dan karbohidrat berlebihan juga membawa bahaya terutama kepada pesakit kencing manis kerana ia boleh menyebabkan hiperglisemia iaitu keadaan apabila badan mempunyai lebihan glukosa dalam aliran darah.

“Bagi mereka yang mempunyai penyakit berkaitan jantung, darah tinggi dan diabetes, pengawalan jenis makanan yang diambil amat penting. Pesakit kencing manis dinasihatkan tidak mengambil makanan tinggi gula dan karbohidrat manakala bagi yang ada darah tinggi pula elakkan makanan ringan seperti kerepek dan kuah rendang atau berlemak. Ini kerana kandungan garam dan bahan perasa di dalam masakan ini sangat tinggi dan mampu menjejaskan kesihatan. Bagi pesakit jantung pula, sebolehnya ambil makanan mengikut saranan doktor. Paling baik makan kuih raya sihat mengandungi oat,” katanya.

Makanan mengandungi gula berlebihan tidak sesuai untuk mereka yang ingin mengekalkan tubuh badan langsing dan sihat. Oleh itu, elakkan pengambilan kek, biskut raya serta minuman bergas kerana ia mempunyai kandungan gula terlalu tinggi.

“Malah, minuman ini langsung tidak memberi khasiat kepada tubuh. Kandungan gula di dalam air ini berada di paras sangat bahaya. Anda dinasihatkan menggantikan minuman dengan pengambilan air putih dan juga jus buah-buahan jika anda memerlukan gula,” katanya.

Selain itu, pengambilan makanan yang tidak teratur dan terlampau banyak boleh menyebabkan penyakit kembung perut, mual, sesak nafas, sakit perut, cirit-birit dan pening kepala. Oleh itu, pengambilan makanan mengikut panduan makan secara sihat membantu untuk menikmati makanan semasa musim perayaan tanpa menjejaskan kesihatan. Kerana itu, Rasulullah menyarankan agar perut manusia diisi de­ngan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi udara. Ini bukan saja bertepatan dengan kaedah ilmu sains dan kesihatan, malah hidup kita akan lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah.

Pemilihan makanan seimbang mengikut piramid makanan langkah yang lebih tepat untuk mengelak daripada mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Apabila seseorang itu sendawa, ia memberi isyarat bahawa perutnya sudah cukup dengan isi yang diperlukan oleh tubuh untuk diproses dan ditukar menjadi tenaga. Tetapi sekiranya perut terus diisi dengan makanan sehingga berlebihan, ia memberi beban kepada ‘kilang’ perut untuk mencerna selepas berpuasa selama sebulan. Di samping itu, konsep yang dianjurkan oleh Rasulullah iaitu makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang juga patut diamalkan dalam menghadiri majlis jamuan rumah terbuka dan seterusnya mengekalkan amalan itu walaupun bukan lagi di musim perayaan.

Panduan menyediakan hidangan sihat

Terdapat pelbagai cara atau panduan yang boleh diikuti ketika menyediakan hidangan sihat. Bagi menu utama raya, dapatkan pemahaman jelas mengenai jenis makanan yang akan dimasak. Ia bermula sewaktu membuat biskut atau kuih raya iaitu dengan mengurangkan gula, minyak dan lemak dalam hidangan.

“Untuk kek pastikan anda menggunakan separuh atau æ daripada kuantiti gula yang biasa digunakan semasa menyediakan biskut dan kek. Penggunaan gula perang salah satu pilihan terbaik. Untuk daging pula gunakan daging yang dibuang lemak atau ayam yang sudah dibuang kulit. Kurangkan juga makanan bergoreng dan berminyak. Sebaliknya tukar kepada cara penyediaan seperti bakar, kukus dan panggang kerana, penyediaan seperti ini lebih sihat dan boleh dipelbagaikan.

“Bagi makanan berasaskan santan seperti rendang dan kuah lontong, ia boleh digantikan dengan susu rendah lemak. Untuk ayam atau daging pula potong dalam ukuran yang kecil,” kata Siti Hajar.

Panduan meraikan tetamu

1. Hidangkan minuman berasaskan jus atau perahan buah segar kerana ia mengandungi banyak vitamin dan zat galian berbanding minuman berperisa.

2. Sediakan air kosong pada setiap waktu makan.

3. Sediakan makanan dalam saiz hidangan yang kecil.

4. Asingkan gula apabila menghidang teh atau kopi.

5. Hidangkan pelbagai jenis sayur bersama hidangan utama. Hidangkan buah-buahan sebagai pencuci mulut pada setiap waktu makan. Sediakan pilihan makanan lebih sihat seperti sup berbanding kuah lemak. Elakkan menghidang asam, jeruk, makanan ringan dan gula-gula kepada tetamu. Elakkan menghidang makanan segera seperti nugget atau sosej

Panduan makan secara sihat ketika menghadiri rumah terbuka

1. Membuat perancangan dalam memenuhi undangan rumah terbuka dengan makan dalam saiz hidangan atau kuantiti yang kecil.

2. Pilih makanan rendah kalori seperti buah-buahan serta makanan kurang lemak dan minyak.

3. Pilih makanan yang tinggi serat untuk mengelakkan sembelit.

4. Hadkan pengambilan makanan manis dan berlemak seperti dodol.

5. Pilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut atau snek. Hadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek.

6. Minum air kosong atau jus buah berbanding minuman berperisa berkarbonat atau minumam manis.

7. Tidak pergi ke rumah terbuka dalam keadaan sangat lapar. Dalam keadaan lapar kebarangkalian makan terlalu banyak sangat tinggi. Makan sedikit di rumah terlebih dulu bagi mengelakkan makan berlebihan di rumah terbuka. Makan secara perlahan-lahan kerana makan secara gelojoh menyebabkan seseorang lebih cenderung makan dengan banyak.

8. Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki dari rumah ke rumah. Setidak-tidaknya ia membantu membakar sedikit kalori yang diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 9:42 AM