JONATHAN idam beraksi pada temasya terbesar kejohanan.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jonathan Wong. Pingat perak yang diraih ketika temasya Sukan SEA Singapura yang lalu memberi pengalaman berharga buat penembak negara Jonathan Wong yang kini semakin ghairah memburu kejayaan.

Selepas beraksi di Sukan Universiti Dunia (Universiade), Jonathan menyasarkan untuk cuba melepasi syarat kelayakan ke Olimpik Rio kerana pastinya menjadi impian setiap atlet untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Katanya biarpun bukan mudah melayakkan diri ke Olimpik, dia akan membuat yang terbaik pada penyertaan di Kejohanan Dunia di Azerbaijan Ogos ini dan Kejohanan Asia di Kuwait Oktober ini.

“Sekarang ini sama ada skuad menembak akan ke Azerbaijan atau tidak masih belum diketahui tapi persatuan sedang berusaha membawa atlet ke sana.

“Andainya saya tidak berpeluang ke Azerbaijan saya masih mempunyai peluang melayakkan diri ke Rio dengan menyertai Kejohanan Asia di Kuwait.

“Di Kejohanan Asia peluang nampak lebih cerah dan jika berada dalam kelompok tiga terbaik atau sekurang-kurangnya di kedudukan lapan teratas, mungkin ada peluang berdasar syarat ditetapkan. Mana-mana penembak yang sudah melepasi syarat kelayakan, peluang seterusnya akan diberikan kepada mereka yang berada dalam kelompok lapan teratas,” katanya.

Di tanya adakah dia kecewa kerana terlepas merangkul emas ketika di Sukan SEA Singapura Jonathan berkata, perasaan itu memang wujud terutama ketika ramai yang mengatakan dia berpeluang menang.

Namun katanya, semua itu satu pengalaman berharga dan jika dikenang kembali kesilapan itu adalah bagus untuk memperbaiki mutu persembahan.

“Memang saya kesal kerana membuat kesilapan besar pada dua bedikan terakhir. Tapi bila difikirkan kembali, ia satu pengalaman yang bagus kerana saya belajar dari kesilapan. Saya akan cuba menjadi lebih baik selepas ini,” katanya.

Jonathan beraksi dalam acara 10m air pistol dan 50m pistol membawa pulang satu perak dan satu gangsa sementara gagal untuk layak ke pusingan akhir acara 50m pistol di Universiade.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 7:29 AM