YEO (dua kiri) selepas taklimat media mengenai perbankan mudah alih RSA di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: RSA, Bahagian Keselamatan EMC, penyedia utama penyelesaian keselamatan perisikan, memperkenalkan sistem pengesahan biometrik bagi menjamin keselamatan perkhidmatan perbankan elektronik (e-perbankan) menerusi mod perbankan mudah alih.

RSA membantu organisasi bank di seluruh dunia menyelesaikan permasalahan keselamatan paling kompleks dan sensitif, mengurus risiko organisasi, melindungi akses mudah alih, menghalang penipuan dalam talian serta melindungi daripada ancaman.

Pengarah Perniagaan Serantau (ASEAN) Kyaw Swa Win berkata, organisasi itu bertindak sebagai ejen yang menawarkan khidmat nasihat dan perundingan, kawalan ketat bagi jaminan identiti, mengesan penipuan dan melindungi data pengguna.

“Dengan kecanggihan peranti pintar dilengkapi kamera, pembaca cap jari, mikrofon dan sensor lain, ia menawarkan platform berasaskan biometrik di mana mereka hanya boleh menggunakan ciri-ciri biometrik, iaitu cap jari, suara atau imbasan muka melalui telefon pintar untuk mengesahkan log masuk ke akaun perbankan mudah alih.

“Tahun lalu mencatatkan 1.3 bilion pengguna telefon pintar di seluruh dunia di mana lebih 60 peratus daripada rakyat Malaysia kini menggunakan telefon pintar sebagai keperluan harian. Tetapi dengan ancaman jenayah siber ke atas platform mudah alih yang semakin meningkat, terdapat permintaan bagi aplikasi dan perkhidmatan yang ringkas dan mudah untuk menjamin keselamatan perbankan ini.

“Ia adalah penting bagi institusi kewangan untuk memastikan bahawa perkhidmatan perbankan yang disediakan kepada pelanggan berada di zon selamat selain memelihara keyakinan dan kepentingan mereka terhadap penggunaan perkhidmatan e-perbankan,” katanya pada sesi taklimat media, di sini.

Menurutnya, analisis menunjukkan bahawa pelanggan mahu kaedah pengesahan terbaru yang bukan sahaja ketat, malah mudah untuk digunakan.

Pengurus Besar Digital, Inovasi dan Transaksi Perbankan (DITB), Hong Leong Bank Berhad (HLBB), Galvin Yeo berkata, transaksi perkhidmatan e-perbankan seperti pemindahan atau pembayaran ke akaun pihak ketiga berdepan risiko besar kerana kecanggihan teknologi membolehkan penjenayah siber mengakses ke akaun pengguna dengan mudahnya.

“Perkhidmatan ini memerlukan tahap perlindungan tertinggi termasuk pengesahan kukuh pengguna serta merahsiakan transaksi yang dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 5:36 AM