KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman Web The Sarawak Report kerana ia didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

SKMM dalam satu kenyataan di sini berkata, tindakan itu dibuat susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai bahawa laman sesawang itu telah memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.

"Sekatan terhadap laman sesawang The Sarawak Report itu juga dibuat mengikut peruntukan sedia ada dalam Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tempoh sekatan terhadap laman sesawang berkenaan berkuatkuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, satu laporan polis dibuat yang mendakwa portal The Sarawak Report telah memalsukan fakta berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan itu, polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat laporan berkenaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 11:49 PM