FOTO Omar Osman
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my


Gurun: Cubaan tiga lelaki cuba memecah dan menyamun mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di pekan Gurun, di sini, gagal selepas kabel yang disambung pada kereta Toyota Hilux dinaiki suspek putus menyebabkan mereka bertindak melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi tadi, dua suspek memakai topi keledar berpenutup manakala seorang memakai sarung kepala menggunakan kuku kambing memecah masuk premis terbabit dan mengumpil satu daripada mesin ATM itu.

Menurut sumber, suspek kemudian mengikat kabel pada kenderaan Toyota Hilux dan cuba menarik mesin ATM itu namun gagal selepas terputus.

“Suspek yang panik kemudian bertindak melarikan diri dan kerugian akibat kerosakan itu dianggarkan RM40,000.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379/427 dan 511 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 4:27 PM