MUSTAPHA Kamal menyampaikan ucapan majlis penutup.
AKSI peserta sebaik kayuhan bermula.
PESERTA tetap ceria biarpun ada yang pertama kali berkayuh sejauh tujuh kilometer.
Oleh Rosman Shamsudin
metahad@hmetro.com.my


Bukan saja kesihatan, berbasikal juga baik untuk persekitaran. Dengan berbasikal kadar pencemaran udara dapat dikurangkan, memberi inspirasi pada Green Ranger Malaysia (GRM) menganjurkan program Kayuhan Hijau Green Ranger 2015 di Behrang, Perak baru-baru ini.

Disertai kira-kira 350 peserta iaitu murid dan pelajar sekolah, program berkenaan bertujuan mendidik generasi baru iaitu generasi Y untuk memelihara alam sekitar bermula daripada pengurangan kadar pencemaran udara.

Program yang mendapat kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 dan Kelab Berbasikal Santai 2020 itu memperkenalkan empat kategori membabitkan kumpulan prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Bermula seawal jam 8 pagi, kesemua peserta perlu berkayuh sejauh tujuh kilometer melalui kawasan perumahan, kilang dan kawasan ladang bagi mempromosi kempen mengurangkan penggunaan kenderaan terutama di kawasan sekolah, pasar raya dan kedai yang berada di dalam komuniti seterusnya menggalakkan penggunaan basikal.

Biarpun diadakan secara santai selain keadaan laluan yang tidak mencabar, pelbagai aksi menarik daripada peserta dapat dilihat.

Paling utama, semangat peserta yang menamatkan kayuhan itu harus dipuji berikutan jarak tujuh kilometer itu dianggap cukup jauh bagi kategori mereka yang berada dalam kelompok amatur.

Rata-rata peserta yang menyertai program ini tetap berpuas hati kerana berbasikal bukan hanya untuk bergelar juara tetapi turut membantu mengurangkan kadar pencemaran udara setempat.

Majlis perasmian penutup program kayuhan ini disempurnakan oleh Pengasas GRM iaitu Tan Sri Dr Mustapha Kamal Abu Bakar .

Sempena majlis itu, Mustapha Kamal juga menyampaikan dua anugerah GRM iaitu Anugerah Ahli GRM Terbaik peringkat kebangsaan yang disandang oleh S Karthikgesan, murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Behrang River dan Anugerah Sekolah Paling Aktif GRM kepada SK Bandar Behrang 2020.

Dalam ucapannya, Mustapha Kamal menyarankan amalan berbasikal diteruskan supaya dunia ini terpelihara daripada asap dan debu kotor daripada kenderaan bermotor.

Amalan itu juga menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti basikal sebagai asas senaman fizikal serta mencadangkan program itu dijadikan aktiviti tahunan sekolah.

Sementara itu, Jurulatih GRM, Dr S Santharasekaran berkata, jarak perjalanan kayuhan itu bukanlah menjadi ukuran program ini tetapi yang penting dapat memberi kesedaran kepada peserta mengenai isu pencemaran alam sekitar khususnya udara yang tidak sihat selain aktiviti itu sendiri yang mampu menyihatkan badan.

Katanya, jika kita semua rakyat di negara ini menggunakan basikal untuk bergerak di kawasan setempat maka kualiti udara menjadi lebih bersih dan rakyat bebas daripada penyakit yang berpunca daripada udara khususnya karbon dioksida.

“Jika kita lihat di negara maju, kerajaannya menggalakkan rakyat mereka menggunakan basikal. Usaha mereka ini boleh dilihat pada penyediaan lorong basikal bagi mengurangkan kadar pencemaran udara yang melampau daripada asap kenderaan.

“Jadi, kita sebagai negara yang menuju fasa negara maju, amalan penggunaan basikal ini tepat pada waktunya.

“Ini kerana, hanya kita sebagai pengguna boleh mengurangkan kadar pencemaran udara ini yang bukan untuk kegunaan orang lain tetapi untuk diri sendiri,” katanya.

Santharasekaran berkata, sepanjang program ini juga beliau kagum dengan sokongan penduduk setempat terutama ibu bapa peserta yang setia menunggu dari awal hingga akhir bagi memastikan kayuhan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:02 AM