Oleh Dang Setia

Saya gadis berusia 26 tahun dan kini bercinta dengan rakan sekerja tua lima tahun. Rupa saya biasa saja dan tiada perkara menarik pada saya. Namun kenalan lelaki saya mempu­nyai karakter menarik serta kacak.

Saya tidak yakin dengan hubungan kami dan kesetiaan dia. Kami bercinta tiga tahun dan pernah merancang bertunang tahun lalu. Atas sebab yang tidak dapat dielakkan kami batalkan hasrat itu dan ambil tempoh ‘bertenang’.

Tidak dapat dinafikan kekasih sering didampingi wanita jauh lebih cantik dan itu menyebabkan kami bergaduh.

Saya tahu teman lelaki saya baik hati dan bukan jenis suka main kayu tiga. Dalam hati saya pelbagai kebimbangan timbul hanya disebabkan penampilan kekasih menarik. Memang saya berbangga mempunyai teman lelaki berkebolehan serta tampan.

Namun ia tidak memberi ketenangan kepada saya. Saya sayangkan dia dan begitu juga dengan teman lelaki. Sehingga kini sikapnya tidak berubah dan masih prihatin seperti selalu. Cuma saya tertekan dengan perempuan yang tidak habis-habis mengurat teman laki saya.

Bantu saya Dang Setia, adakah saya perlu bertahan dengan perasaan rapuh sebegini?

MYRA, Petaling Jaya, Selangor

Hargai kekasih sebaik-baiknya kerana biarpun diduga dengan godaan wanita lebih cantik dia masih sanggup bertegas dengan hati bahawa saudari pilihannya. Kesalnya saudari bersikap mudah mengalah dan sanggup memberi tekanan pada diri.

Bagi Dang Setia itu bukan contoh baik untuk mempunyai hubungan cinta sihat. Dalam sudut lain, sikap saudari membuatkan kekasih ‘penat’ kerana perlu memujuk. Itu bukan sikap yang baik selaku teman wanita pada lelaki sempurna.

Cuba bersikap matang dan istiqamah pada jodoh sedia ada supaya calon baik tidak terlepas daripada genggaman. Sudut lain Dang Setia rasa mencari perwatakan baik seperti dimiliki kekasih saudari bukan mudah ditemui.

Justeru ubah sikap pesimistik serta cemburu buta dengan bijak mengambil hati serta memikatnya supaya perasaan cinta itu subur hingga ke jenjang pelamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 4:11 AM