KEDAI emas yang dirompak.
Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sebuah kedai emas kerugian RM400,000 selepas disamun empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi dalam kejadian di Pasaraya Giant, Kelana Jaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, dua pekerja yang berada dipremis berkenaan terkejut selepas didatangi oleh empat lelaki memakai helmet dan baju lengan panjang.

Salah seorang pekerja premis berkenaan yang enggan dikenali berkata, keempat-empat suspek tiba-tiba masuk ke kedai terbabit dan memecahkan cermin pameran emas.

Katanya, mereka tidak mampu melakukan apa-apa disebabkan takut dicederakan empat suspek terbabit yang turut membawa sepucuk pistol.

"Empat suspek yang bersenjatakan penukul besi dan sepucuk pistol bertindak memecahkan kaca tempat pameran barang kemas.

"Sebaik berjaya mengambil barangan kemas itu, mereka terus melarikan diri," katanya ketika ditemui, semalam.

Difahamkan, sebuah lagi cawangan kedai emas ini di Econsave, Cheras, pernah cuba dirompak kira-kira dua bulan lalu tetapi gagal selepas penggera keselamatan berbunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2015 @ 4:48 PM