Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Hari Raya Aidilfitri yang disambut seorang pemuda pada tahun ini lebih bermakna apabila meraikannya buat pertama kali bersama dua isteri.

Malah, kemeriahan lebih terasa buat Mohammad Naim Ramli, 31, dengan kehadiran dua cahaya mata iaitu Nur Auni Humaira berusia 120 hari dan Nur Naimah Mahirah berusia 20 hari.

Mohammad Naim berkata, kehadiran 1 Syawal yang disambut pada tahun ini lebih berwarna warni dengan kehadiran isteri kedua, Noorizati Amira Ismail, 25, dan dua anak baru.

"Saya teruja menyambut hari raya bersama dua isteri serta empat anak dengan mengenakan pakaian sedondon.

"Malah, kami sekeluarga turut menjadi perhatian orang ramai ketika beraya," katanya yang tinggal di Kampung Losong Tangki Air, di sini.

Mohammad Naim berkata, memandangkan dua isteri tinggal di Kuala Terengganu, dia terpaksa membahagikan masa dengan sebaik mungkin bagi memastikan mereka tidak berkecil hati.

"Pada sebelah pagi, kami sekeluarga beraya di rumah ibu saya di Kampung Losong sebelum ke rumah keluarga isteri kedua di Kampung Gong Tok Nasek dan seterusnya bertandang ke rumah keluarga isteri pertama di Kampung Losong, di sini.

"Mengenai persiapan raya, peruntukan pada tahun ini turut bertambah dengan kehadiran dua cahaya mata yang baru," katanya.

Tambahnya, selain menziarahi ahli keluarga terdekat, mereka turut ke rumah rakan-rakan dan menziarahi pusara arwah bapanya di Tanah Perkuburan Losong.

"Amalan ziarah menziarahi bukan hanya untuk mengeratkan hubungan silaturahim tetapi peluang terbaik untuk saya memperkenalkan isteri dan dua anak yang baru dilahirkan," katanya yang menjalankan perusahaan penternakan ayam kampung.

Menurutnya, dia berkahwin dengan Noorizati Amira pada 15 Mei tahun lalu dengan sokongan serta persetujuan isteri pertama, Anis Suhaili Saharuddin, 27, dan dua anaknya iaitu Nur Ainun Dayana, 6, dan Muhammad Zaim Nasri, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2015 @ 4:00 PM