FOTO hiasan
Oleh Mary Victoria Dass
Maryvictoria@hmetro.com.my


Nusajaya: Seorang pemandu lori maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian di Blok C Taman Sri Yaacob, Skudai di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, K Kirubanandan, 41, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tubuh.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan awal polis mendapati suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda melepaskan lima das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

"Ketika kejadian mangsa dikatakan baru pulang daripada kedai berhampiran dengan menaiki motosikal sebelum diserang suspek di parkir di blok berkenaan.

"Polis menemui lima kelongsong peluru bersaiz 9 mm dan masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya ketika ditemui di Balai Polis Gelang Patah, di sini, sebentar tadi.

Noor Hashim berkata, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak di mana siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk dibedah siasat.

"Polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

"Pada masa sama, polis juga amat berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu kerana ia masih dalam proses siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2015 @ 11:02 AM