Kemalangan membabitkan kereta yang merempuh pokok. FOTO ihsan bomba
Oleh Nursyazwana Mansor
am@hmetro.com.my


Yan: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera termasuk dua parah apabila kereta dinaiki hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok dalam kemalangan, awal pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 3.30 pagi di Kampung Teroi, Guar Chempedak, di sini, apabila kereta Perodua Viva dinaiki lima lelaki berusia 20-am dalam perjalanan ke Yan.

Kemalangan itu menyebabkan dua mangsa tercampak keluar manakala tiga lagi tersepit di dalam kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak Penolong Penguasa Bomba Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.41 pagi sebelum tujuh anggota bomba dari BBP Guar Chempedak dan sebuah EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seorang mangsa Muhammad Zafis Khalid, 21, yang duduk di tempat duduk penumpang depan mati di tempat kejadian, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang belakang cedera parah.

Katanya, dua lagi mangsa yang tercampak keluar cedera ringan.

"Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 12:00 PM