Oleh Ismail Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kota Bharu: seramai 11 atlet dari Kelantan yang cemerlang di Sukan SEA Singapura baru-baru ini menerima insentif keseluruhan berjumlah RM12,500 di Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) semalam.

Mereka meraih 4 emas, 5 perak dan 3 gangsa dalam acara memanah berpasukan, petanque individu dan berpasukan, skuasy berpasukan, hoki berpasukan, ragbi berpasukan, sepak takraw dan olahraga.

Timbalan Pengerusi MSNK Datuk Rosmadi Ismail berkata, skim insentif itu diberikan sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka menyumbang pingat.

Katanya, atlet yang meraih pingat emas, perak dan gangsa bagi acara individu dan berpasukan masing-masing menerima antara RM500 hingga RM2,000.

“Kita bangga dengan pencapaian dan sumbangan 11 daripada 30 atlet anak Kelantan yang membantu pungutan pingat negara. Insentif ini tanda penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan cemerlang atlet,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah MSNK Datuk Mohammad Noordin Awang, Penolong Pengarah (Pentadbiran dan Atlet) MSNK Tuan Aziz Tuan Mat, Ketua Unit Sukan Prestasi Tinggi negeri Kelantan Zahari Zakaria dan Pegawai Perhubungan Awam MSNK Fazli Rosli.

Rosmadi berkata, pihaknya sentiasa memberi pengiktirafan atas kejayaan atlet Kelantan dalam pelbagai temasya sukan dalam negara dan antarabangsa.

“Saya harap atlet Kelantan akan terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam pelbagai kejohanan pada masa akan datang.

“Walaupun jumlah insentif disediakan tidak besar, sekurang-kurangnya ia bagi menggalakkan budaya cemerlang di kalangan atlet negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:02 AM