FOTO Reuters
Al-Jazeera

KEPUTUSAN Snapchat bagi mendedikasikan siaran langsung dari bandar suci Makkah di Arab Saudi, menjadi perbualan hangat di media sosial dengan beratus ribu tweet berkenaan topik ini.

Analisis digital, Topsy mencatatkan lebih satu juta 'mentions' di Twitter sahaja, bermula dengan pengguna Islam yang pertama memasukkan secara langsung terus ke Snapchat menunjukkan suasana di Makkah sebelum mendapat tindak balas serta reaksi paling popular di atas talian.

Ramai pengguna Muslim menunjukkan penghargaan kepada Snapchat kerana berjaya mengubah persepsi masyarakat dunia mengenai Islam.

Rata-rata pengguna laman sosial yang bukan beragama Islam berkata, melihat suasana langsung dari Makkah di atas talian itu membuatkan mereka mempertimbangkan untuk memeluk Islam.

Ciri siaran langsung Snapchat berfungsi dengan mencantumkan klip video pendek yang dimasukkan pengguna, terus ke dalam satu aliran rakaman yang berterusan. Antara visual yang dikongsi pengguna adalah pengunjung yang mengerjakan solat, tawaf dan sebagainya.

Dalam pada itu, ada juga pengguna memberikan komen sinis terhadap orang yang bukan Islam yang mendakwa mereka rasa lebih dekat dengan Islam selepas menonton video yang dikongsi langsung dari Makkah itu.

Terdapat juga tindak balas yang mengutuk pengguna skeptikal kerana menentang semangat yang dizahirkan oleh pengguna lain menerusi hashtag #mecca_live itu.

Bagaimanapun, reaksi positif dari pengguna Islam dan bukan Islam tetap menjadi tumpuan serta sebutan di media sosial seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 3:04 PM