Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini melancarkan Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB) dan Program Wakaf Korporat.

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) pada Januari lalu meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) sebagai dana permulaan bagi melaksanakan Program Wakaf Korporat bagi tempoh pelaksanaan selama lima tahun bermula tahun ini hingga 2019.

Katanya, PWNB, iaitu syarikat subsidiari milik penuh YMW diamanahkan untuk menjadi pelaksana kepada program Wakaf Korporat.

"PWNB akan mengenal pasti dan melaksanakan pembelian atau pembangunan projek manakala Yayasan Wakaf akan menyalurkan dana bagi membiayai projek itu.

"Sementara itu, Program Wakaf Korporat adalah skim wakaf yang disumbangkan oleh pelbagai pihak dan diuruskan oleh badan yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Negeri dan dana digunakan untuk mewujud dan membangunkan aset kekal yang manfaatnya boleh membantu kepada permulaan dan peningkatan aktiviti ekonomi serta sosial ummah," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Perbadanan Wakaf Nasional Berhad dan Program Wakaf Korporat di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Wahid Omar dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:20 PM