ANTARA gambar yang ditemui menunjukkan Jutting bersama seorang pelacur.
JUTTING ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
Agensi

Hong Kong: Seorang pekerja bank warga Britain semalam menghadapi tuduhan melakukan dua pembunuhan di sini selepas mayat dua pelacur ditemui di apartmen mewahnya.

Rurik Jutting, 29, lulusan Universiti Cambridge, meletak jawatannya di Bank of America Merrill Lynch beberapa hari sebelum penemuan ngeri mayat seorang wanita yang hampir putus kepalanya dalam beg pakaian dan seorang lagi dengan lehernya dikelar.

Dia dihadapkan ke mahkamah pagi semalam untuk perbicaraan singkat. Kedua-dua tuduhan dibacakan kepadanya dan dia ditahan sehingga 10 November untuk disoalsiasat.

Dalam pada itu, polis di bekas tanah jajahan Britain itu turut melancarkan siasatan untuk memastikan sama ada lebih ramai wanita menjadi mangsanya selepas gambar seorang daripada wanita yang mati itu ditemui di antara 2,000 gambar dan video dalam telefon pintar Jutting.

Dalam perkembangan sama, Jutting juga melabelkan dirinya sebagai ‘pesakit jiwa’ dalam jawapan e-mel di akaunnya di bank berkenaan.

Pembunuhan itu terbongkar pada malam Halloween apabila Jutting yang berasal dari Surrey, England, dilapor menelefon polis sejurus selepas jam 3 pagi.

Polis yang tiba di apartmennya menemui pelacur warga Filipina berusia 30 tahun yang dikenali dengan nama samaran Jessie Lorena Ruri, masih hidup walaupun cedera teruk di leher dan pinggulnya.

Bagaimanapun, wanita itu mati tidak lama kemudian.

Lapan jam selepas itu, pakar forensik yang memeriksa flat berkenaan menemui beg pakaian di balkoni dengan dua kaki manusia terjulur keluar.

Di dalamnya ialah mayat pelacur kedua, Sumarti Ningsih, 25, warga Indonesia.

Tangan dan kakinya diikat dan kepalanya hampir putus, menurut polis di tempat kejadian.

Mayatnya dipercayai berada di situ sejak lima hari lalu.

Sebuah akhbar Hong Kong, Ming Pao melaporkan, Jutting bercakap merepek ketika polis tiba.

Sementara itu, e-mel yang dihantar melalui akaunnya di bank berkenaan memberi jawapan automatik ‘di luar pejabat.’

Jawapan itu berbunyi: “Saya di luar pejabat. Jika ada hal penting, sila hubungi pegawai lain yang tidak gila. Jika inginkan keterangan lanjut, sila hubungi Tuhan.”

Mesej itu seolah-olah menunjukkan dia ingin membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:15 AM