SEGERA bertemu pakar perubatan sekiranya mengalami kesakitan kaki.

Masalah kaki melecet, ketumbuhan, kulit kematu, tumit merekah, ibu jari melengkung dan jangkitan kulat antara penyakit kaki biasa dan sering dialami individu dewasa.

Lebih membimbangkan apabila ramai golongan dewasa berusia 20-an ke atas mula mengalami pelbagai masalah berkaitan kaki terutama berasa cepat lenguh apabila banyak berjalan.

Disebabkan itu, kaki perlu sentiasa diberi perhatian kerana anggota penting itu mempunyai peranan besar dalam kehidupan seharian iaitu sebagai pelengkap diri, melancarkan pergerakan badan serta menampung berat tubuh.

Antara kaedah menjaga kesihatan kaki adalah melalui pemakaian kasut bersaiz tepat, pastikan ia selesa dan bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.

Kajian mendapati 75 hingga 80 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berkaitan kaki tetapi kebanyakannya enggan men­dapatkan khidmat nasihat pakar untuk mengatasi masalah terbabit sehingga ia berlarutan.

Ramai individu memberi alasan kekangan masa selain beranggapan masalah kaki yang dialami itu bukan penyakit serius mengakibatkan pelbagai komplikasi kaki yang tidak disangka.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyOtho Datuk Dr Edmund Lee berkata, masalah berkaitan kaki tidak boleh sesekali diambil mudah bagi mengelak berlakunya pelbagai penyakit berbahaya pada kemudian hari.

“Pemeriksaan berjadual perlu dilakukan dengan bertemu pakar atau pegawai perubatan berkaitan terutama sekiranya kaki mula menunjukkan isyarat berlakunya masalah.

“Kaki anggota terpenting yang menampung seluruh berat badan manusia terutama ketika berjalan,” ujarnya.

Menurutnya, melalui pemerhatian dilakukannya ramai pesakit yang mengalami masalah berkaitan kaki mendapatkan rawatan apabila keadaan kesihatan sudah semakin serius.

“Pelbagai komplikasi boleh terjadi sekiranya individu mula menghadapi kesakitan pada kaki antaranya masalah tulang belakang.

“Disebabkan itu, pemeriksaan serta rawatan berjadual sangat penting bagi mencegah sebarang masalah di kemudian hari.

“Lebih teruk apabila mereka bertemu doktor dalam keadaan yang sudah terlalu serius yang memerlukan pembedahan atau suntikan sebagai kaedah rawatan,” kata­nya.

Antara kaedah yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan kaki:

1. Pilih kasut yang sesuai dengan ukuran kaki.

2. Lakukan pemeriksaan dan rawatan kaki berjadual.

3. Jangan kerap berjalan tanpa memakai kasut.

4. Jangan sesekali mengabaikan rasa sakit pada kaki atau pergelangan kaki

5. Angkat kaki dalam tempoh seketika terutama selepas berjalan atau berlari yang lama.

6. Periksa keadaan kaki dengan teliti.

7. Jaga kebersihan kaki dan kuku kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:01 AM