BULAN puasa antara masa yang sesuai untuk berhenti merokok.

Bagi perokok tegar, pastinya mengalami masalah ketagihan dan kegelisahan ketika berpuasa ketika Ramadan disebabkan tidak dapat merokok dalam tempoh 14 jam.

Nikotin daripada tembakau yang juga bahan utama rokok menyebabkan perokok berasa cergas ketika merokok. Namun, dalam tidak sedar, bulan mulia ini bulan terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh perokok untuk berhenti merokok dan menjalani kehidupan bebas daripada rokok.

Tinjauan Global Perokok Dewasa (GATS) menunjukkan 80 peratus perokok cuba berhenti merokok tanpa sebarang bantuan.

Secara purata, perokok mencuba lapan hingga 11 kali untuk berhenti merokok sebelum berjaya sepenuhnya.

Berhenti merokok boleh menjadi suatu perjalanan yang amat sukar kerana perokok perlu menangani pelbagai simptom seperti perasaan cepat gusar, kekecewaan, kemarahan, kebimbangan, selera makan yang meningkat dan kesukaran untuk memberi tumpuan.

Kajian membuktikan, tahap kejayaan untuk berhenti merokok lebih besar sekiranya seseorang itu menerapkan strategi yang berasaskan kepada pencapaian sesuatu matlamat.

Menetapkan matlamat yang realistik khususnya berasaskan kejayaan lalu, merancang dan memberi ganjaran kepada diri sendiri apabila sesuatu matlamat berjaya dicapai turut membantu merealisasikan impian untuk bebas merokok.

Menurut Pakar Ketagihan Nikotin Universiti Malaya Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin, kebanyakan perokok mengetahui kesan buruk merokok terhadap kesihatan mereka namun tidak berupaya mengawal kei–nginan untuk menghisap rokok.

“Proses untuk berhenti merokok menampilkan kedua-dua cabaran fisiologi dan psikologi apabila perokok perlu memahami ketagihan nikotin sebagai satu masalah perubatan.

“Mereka perlu berunding dengan doktor bagi membolehkan mereka menangani ketagihan mereka terhadap tembakau,” katanya.

Dr Amer Siddiq berkata, dalam pada itu, semangat serta dorongan daripada individu di sekeliling seperti isteri dan rakan turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat itu.

“Golongan ini perlu dibantu dan jangan sesekali melemahkan semangat dan hasrat mereka untuk berhenti merokok.

“Sentiasa cuba mengingatkan dan menasihati terutama mengenai kesan buruk merokok kerana kaedah itu sedikit sebanyak mampu membantu mereka,” ujarnya.

Antara kaedah yang boleh dilakukan individu rapat atau teman bagi membantu mereka yang mahu berhenti merokok:

- Bersikap biasa saja, jangan terus menekan mereka dengan mempertanyakan bila mereka akan berhenti merokok sepenuhnya.

- Bantu mereka menyiapkan segala bahan untuk berhenti merokok seperti gula-gula.

- Habiskan waktu bersama dengan aktiviti yang menjauhkan mereka daripada terus memikirkan soal rokok seperti berenang atau menonton wayang.

- Hiasi rumah anda seolah-olah bebas daripada asap rokok seperti membersihkan karpet dengan kerap.

- Menasihati mereka terutama berkaitan masalah kesihatan yang bakal dihidapi sekiranya terus merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:00 AM