Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Dalam suka ada duka, dalam perkhabaran baik ada dugaan dan ujian yang menanti. Mungkin itulah situasi paling tepat dilalui penyanyi Aril Pilus, 29.

Berita gembira mengenai isterinya, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin, 29, mengandung dan mereka bakal menyambut orang baru, turut menerima berita duka isterinya diberhentikan kerja sebagai pramugari Saudi Arabian Airlines.

Malah keputusannya meninggalkan kerjaya tetap sebagai penyampai radio Era kerana mahu memberikan tumpuan pada bidang nyanyian, dianggap risiko besar. Pada saat menanti kehadiran orang baru, tentunya Aril memerlukan wang untuk membuat persiapan.

Aril atau Khairil Azam Pilus akui cukup gembira apabila menerima berita bakal bergelar ayah. Ditambah pula waktu sama buah hati kesayangannya itu turut berhijab.

Pada waktu itu, Aril tidak menolak pelbagai perkara mula bermain di fikirannya terutama soal kewangan. Dia baru berhenti sebagai penyampai radio dan kini isterinya yang mengandung lima bulan, diberhentikan apabila disahkan mengandung.

“Setakat ini alhamdulillah, pendapatan saya cukup untuk menampung keluarga. Bagaimanapun bohonglah kalau saya kata tidak risau dengan situasi yang saya lalui sekarang.

“Sebagai manusia dan hamba-Nya, saya percaya setiap pasangan yang berkahwin sudah ditetap­kan rezeki begitu juga dengan rezeki anak yang bakal dilahirkan.

“Dalam hal ini, sebagai ketua keluarga saya harus berusaha untuk mencari sumber pendapatan lain bagi menambah kewangan sebagai persediaan menampung belanja keluarga yang semakin besar,” katanya.

Kata Aril, memang sudah menjadi syarat pramugari mengandung harus meninggalkan tugas mereka. Malah isterinya tidak mungkin kembali bertugas sebagai pramugari memandangkan dia kini berhijab.

“Saya tidak kisah sekiranya isteri tidak mahu bekerja dan mahu membesarkan anak sepenuh masa. Itu akan lebih membuatkan saya gembira tetapi sebagai suami, saya lebih kenal isteri saya.

“Bekerja sebagai pramugari selama bertahun-tahun dan menjelajah ke seluruh dunia membuatkan isteri tidak betah untuk duduk diam di rumah. Selepas ini kalau dia memberitahu niat hatinya untuk kembali bekerja, saya tidak menghalang,” katanya yang berkahwin pada 20 Disember 2013.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Bangkit itu akui rasa takut dan bimbang sama ada cukup atau tidak untuk menyediakan keperluan tanpa pendapatan tetap, sering menghantui fikirannya.

Bagaimanapun katanya, dorongan isteri dan keluarga membuatkan dia jadi kuat untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan segala keperluan keluarga juga anak bakal dilahirkan nanti cukup.

“Apa pun, saya tidak mahu berlaku situasi dalam rumah tangga di mana isteri mahu melakukan sesuatu tetapi tidak mendapat kebenaran suami.

“Cuma kalau mahu kembali bertugas di syarikat penerbangan, biarlah bukan sebagai pramugari tetapi melaksanakan kerja pejabat.

“Perkara itu dirasakan mudah untuk kami sama-sama membesarkan anak dan tidak berjauhan terlalu lama,” katanya.

Aril yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Astro melahirkan rasa bertuah kerana setakat ini segala keperluan dan perkara diperlukan untuk memastikan kerjaya nyanyiannya berkembang baik disediakan.

Dia menganggap dirinya penyanyi baru yang sedang mencipta nama dan bersyukur diberikan ruang dan peluang. Tambah pula dia bersama dua lagi penyanyi bernaung bawah syarikat sama, Hafiz Suip dan Akim Ahmad turut diberi bimbingan.

“Lebih daripada itu, syarikat pengurusan juga sangat terbuka dengan idea yang saya berikan. Mengambil contoh dalam program akustik dilaksanakan baru-baru ini, ia dilaksanakan atas kehendak dan hala tuju yang saya mahukan.

“Saya harap apa yang dihasilkan itu dapat memaparkan sisi berbeza saya dalam industri muzik berbanding penyanyi sedia ada,” katanya.

Strategi juga turut dirancang dengan sebaik mungkin bagi memastikan kelangsungan kerjaya seninya. Malah sebelum sesuatu keputusan dibuat, ia akan dipertimbangkan sebaik mungkin termasuklah single apa yang mahu diketengahkan selepas Bangkit.

Aril yang dicungkil bakatnya daripada Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7), mula dikenali menerusi single Toksik dan Menatap Matamu. Selain menyanyi, Aril turut berlakon Shuffle Milikku dan juga pengacara Trek Selebriti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:02 AM